Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

BERSIH lancar petisyen kekalkan Speaker Dewan Negara, tapi kurang sambutan


Bersih 2.0 melancarkan petisyen bagi mengajak orang ramai menolak usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof dan timbalannya Nga Kor Ming pada hari pertama sidang Parlimen, 13 Julai nanti.

Gabungan itu dalam satu kenyataan berkata, petisyen tersebut boleh ditandatangani secara dalam talian.

Setakat berita ini ditulis, seramai 16,000 orang sahaja yang baru mendatangani petisyen berkenaan.

“Yang di-Pertua Ariff, yang bukan merupakan ahli parlimen dan telah meletak jawatan daripada parti politik sejak pelantikannya bermula pada sidang parlimen ke-14 pada tahun 2018, telah mentransformasikan jawatannya dengan saksama dan benar-benar menghargai semangat kepelbagaian parti.


“Kami dengan ini menuntut semua ahli parlimen untuk mengundi menolak usul bagi menukar Yang di-Pertua Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang berjalan, daripada menggantikan beliau dengan seseorang dengan karakter partisan.

“Kami menggesa semua ahli parlimen untuk menyokong Ariff untuk meneruskan reformasi yang sedang dilaksanakan di bawah kepimpinan beliau,” kata badan itu.

Selain melancarkan petisyen, Bersih berkata pihaknya juga akan mengadakan siri webinar untuk membincangkan beberapa aspek reformasi parlimen yang akan bermula pada malam ini.

Pada 27 Jun lalu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan Mohamad Ariff dan Nga Kor Ming.


Bagaimanapun, seorang lagi timbalan speaker, Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat, tidak terkesan dengan usul berkenaan.

Rashid merupakan bekas anggota parlimen PKR yang keluar daripada parti  itu untuk menyertai Bersatu bersama-sama bekas timbalan presiden PKR, Azmin Ali.

Bersih berkata usul seumpama itu tidak pernah berlaku di Malaysia kerana jawatan tersebut biasanya dikosongkan hanya apabila Parlimen dibubarkan, berlakunya kematian ataupun peletakan jawatan.

Bersih 2.0 turut menyenaraikan tujuh reformasi di bawah Ariff, antaranya pembentukan 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen rentas parti, dan pelantikan ahli parlimen pembangkang untuk mempengerusikan Jawatankuasa Audit.

Selain itu, antara reformasi lain yang dibuat adalah mengiktiraf kabinet bayangan pembangkang untuk mendapat akses kepada sumber maklumat kerajaan, peruntukan tempoh soalan perdana menteri secara mingguan, serta slot khas bagi ‘urusan bukan kerajaan’ dan ‘rang undang-undang’.

sumber: MalaysiaKini