Kecoh, Pengerusi SPR didakwa bakal dilantik jadi Speaker Dewan Rakyat baru


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun dikatakan akan dipilih sebagai speaker Dewan Rakyat yang baru, menggantikan Mohamad Arif Md Yusof.

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil hari ini menulis status terbuka kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin di media sosial berkaitan perkara itu.

Isham bagaimanapun menyuarakan rasa tidak selesanya dengan perkembangan itu.

“Saya baru mendapat maklum bahawa YAB Tan Sri telah mencadangkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Azhar Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baru.



“Jika ini benar, ia adalah sesuatu cadangan yang janggal kerana Azhar Harun adalah lantikan Dr Mahathir dan PH dahulu dan sememangnya penyokong tegar PH,” tulisnya.

Katanya, kemungkinan langkah itu diambil kerana Muhyiddin dan kerajaan ingin mendapatkan sokongan blok pembangkang ketika pemilihan speaker dan timbalan speaker baru.

“Dengan segala hormat, tanpa prejudis dan dengan hati yang terbuka dan ikhlas saya ingin bertanya: Adakah YAB perdana menteri tidak yakin yang kerajaannya akan mendapat cukup undi di parlimen sehingga perlu melantik speaker yang berkecondongan pembangkang (PH)?

“Mohon YAB Tan Sri memberi pencerahan dengan ikhlas dan hati yang terbuka juga,” tulisnya.



Menurut Malaysiakini, mereka sudah menghubungi Azhar dan sedang menunggu penjelasannya.

Penuhi kriteria, kata Annuar Musa

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, menyifatkan tiada perkara luar biasa berhubung pencalonan Azhar Azizan.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata Azhar mempunyai latar belakang undang-undang selain memenuhi kriteria.

Selain itu, katanya, tidak wajar pencalonan Azhar dikaitkan dengan Peguam Negara Idrus Harun yang juga abangnya.



"Saya rasa tak adil kaitkan pencalonan Azhar dengan abangnya sebagai peguam negara. Beliau dilantik sebagai pengerusi SPR sebelum lantikan peguam negara dan menunjukkan khidmat baik serta cemerlang di SPR.

"Bagaimanapun, saya rasa semua pihak boleh berspekulasi sehingga perkara ini disahkan. Seseorang yang hendak dilantik ke jawatan ini memang perlu melepaskan semua jawatan, termasuk dalam parti politik atau mana-mana badan lain.

"Beliau harus melaksanakan tanggungjawab bersesuaian dengan status dan kedudukan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Proses ini saya anggap biasa tetapi pelantikan akan berlaku ketika dewan bersidang selepas mendapat majoriti mudah daripada ahli parlimen," beliau dipetik sebagai berkata oleh Berita Harian pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.



Malaysiakini juga sedang menghubungi Annuar untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perkara itu.

Akhbar itu melaporkan Azhar yang juga dikenali sebagai peguam hak asasi manusia sudah melepaskan jawatannya sebagai pengerusi SPR, semalam.

Muhyiddin dilapor menghantar usul menggantikan speaker dan timbalannya Nga Kor Ming pada 26 Jun lalu, dan dijangka membentangkannya pada persidangan yang dijadual berlangsung 13 Julai ini.

-MalaysiaKini

Join our Telegram Channel
Telegram


Kecoh, Pengerusi SPR didakwa bakal dilantik jadi Speaker Dewan Rakyat baru Kecoh, Pengerusi SPR didakwa bakal dilantik jadi Speaker Dewan Rakyat baru Reviewed by Tun Carlos on June 30, 2020 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.