KUALA LUMPUR, 6 November – UMNO secara rasmi menutup akaun khas Tabung Solidariti Najib Razak selepas kutipan dana yang dilancarkan pada 18 September lalu bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mencapai sasaran dan mencukupi.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu turut menyelesaikan segala proses pembayaran kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini.
Menurut beliau, penutupan akaun berkenaan menandakan tiada lagi keperluan untuk meneruskan pendanaan awam atau crowdfunding bagi tujuan tersebut.
Dalam kenyataan media hari ini, UMNO merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT serta penghargaan kepada seluruh ahli UMNO di Malaysia dan orang ramai yang tidak putus-putus menyumbang sejak tabung itu diwujudkan.
UMNO turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan dan sumbangan bagi menjayakan Tabung Solidariti Najib Razak sehingga mencapai matlamatnya.
Tabung Solidariti Najib Razak ditutup secara rasmi berkuat kuasa hari ini, susulan penyelesaian pembayaran kepada pihak mahkamah dan pencapaian sasaran kutipan dana yang ditetapkan.
– TAMAT –


