Mangsa kes Liwat II desak minit mesyuarat Lembaga Pengampunan 2018 turut didedahkan
KUALA LUMPUR: Pengadu dan mangsa kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan, membangkitkan persoalan mengenai minit mesyuarat Lembaga Pengampunan yang membawa kepada pengampunan penuh Anwar pada Mei 2018.
Menerusi hantaran di Facebook, Saiful meminta supaya minit mesyuarat berkenaan turut dinyahklasifikasikan sekiranya ia masih wujud.
Permintaan itu dibuat susulan tindakan bekas Ahli Parlimen DAP, Tony Pua, mendedahkan beberapa halaman minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan bersyarat Datuk Seri Najib Razak.
Pendedahan tersebut mencetuskan persoalan apabila seorang individu yang bukan anggota Kabinet atau pemegang jawatan kerajaan boleh memuat naik dokumen yang sebelum itu dikategorikan sebagai rahsia.
Justeru, persoalan Saiful cukup mudah: jika minit mesyuarat pengampunan Najib boleh didedahkan atas alasan ketelusan, mengapa minit mesyuarat pengampunan Anwar pada 16 Mei 2018 tidak turut dibuka kepada umum?
Kalau benar mahu ketelusan, jangan pilih-pilih. Buka semuanya supaya rakyat boleh menilai sendiri.
-TAMAT


