Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dedah minit pengampunan, Wan Rosdy gesa Tony Pua dikenakan tindakan

 

KUALA LUMPUR, 18 November 2026 – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan Tony Pua mendedahkan minit Mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perbuatan yang tidak menghormati institusi Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, tindakan tersebut amat serius kerana kuasa pengampunan merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.


Menurutnya, institusi Raja-Raja Melayu tidak seharusnya diperlakukan sedemikian rupa, apatah lagi dijadikan bahan polemik politik sehingga melangkaui batas adab dan tanggungjawab.

“Jangan sampai berlaku keadaan ‘kaduk naik junjung’, apabila kebebasan dan ruang yang diberikan disalahgunakan sehingga terlupa akan batas, adab dan tanggungjawab menghormati institusi negara,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Rosdy turut mempersoalkan bagaimana dokumen berkaitan prosiding rasmi Lembaga Pengampunan boleh didedahkan kepada umum, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai keselamatan, kerahsiaan dan tatakelola dokumen kerajaan.

Beliau membangkitkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab terhadap dokumen berkenaan serta prosedur penyahklasifikasian yang digunakan sebelum ia didedahkan kepada umum.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera, termasuk meneliti kemungkinan pelanggaran undang-undang berkaitan isu 3R serta aspek keselamatan dan kerahsiaan dokumen kerajaan.

Tegasnya, sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang atau prosedur, tindakan sewajarnya perlu diambil tanpa sebarang pilih kasih.

“Perbezaan politik bukan lesen untuk memperlekeh institusi Raja-Raja Melayu. Menghormati Yang di-Pertuan Agong dan menjaga kerahsiaan dokumen kerajaan adalah soal prinsip, kedaulatan undang-undang serta tanggungjawab terhadap negara,” katanya.

Kenyataan itu sekali lagi menegaskan pendirian beliau bahawa institusi Raja-Raja Melayu dan kedaulatan undang-undang perlu dihormati tanpa mengira perbezaan fahaman atau kepentingan politik.