Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Sekolah bertukar cemas, pelajar Tingkatan Satu kejar tiga rakan dengan pisau

 


ALOR GAJAH – Seorang pelajar Tingkatan 1 sebuah sekolah menengah di sini bertindak mengejar tiga rakan sambil memegang pisau pemotong kertas selepas dipercayai menjadi mangsa buli.

Kejadian berlaku jam 2.50 petang Khamis ketika sedang berlangsung program di dewan terbuka sekolah berkenaan.


Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ahmad Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati insiden tercetus selepas suspek berusia 13 tahun beberapa kali dibaling ais menyebabkannya berang bertindak demikian.

“Hasil siasatan mendapati, dua pelajar lelaki berusia 13 dan seorang berusia 14 tahun membaling ais berulang kali ke arah suspek.

“Suspek kemudian mengeluarkan pisau berkenaan daripada bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang mangsa sejauh kira-kira 50 meter sehingga ke kawasan surau sekolah,” katanya pada Jumaat.

Katanya, situasi cemas itu turut menyebabkan dua lagi pelajar lain yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang dicederakan.

Bagaimanapun katanya, keadaan berjaya dikawal selepas seorang guru berjaya memujuk suspek melepaskan pisau.

Katanya, tiada sebarang kecederaan dilaporkan susulan insiden itu sama ada pelajar terlibat atau guru.

“Keluarga suspek telah dipanggil ke sekolah untuk membawa pelajar itu pulang.

"Suspek dilaporkan memerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu

“Siasatan turut mendapati semua pelajar terlibat mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal tahun ini,” tambahnya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.