Diplomasi diraja antara Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Bahrain Raja Hamad bin Isa Al-Khalifa, mencipta detik bersejarah apabila berjaya mengembalikan semula perlumbaan Formula One (F1) ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC), selepas sembilan tahun.
Menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, kejayaan itu disifatkan sebagai hasil hubungan erat serta kepercayaan tinggi yang terjalin antara Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad, sekali gus membawa kepada penganjuran Grand Prix (GP) F1 Bahrain di Malaysia.
“Semenjak tahun 2017, Seri Paduka Baginda dan Raja Hamad menjalin persahabatan peribadi yang baik dan ia terus berkembang kepada pengukuhan hubungan diplomasi antara Bahrain dan Malaysia, dengan Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Bahrain pada tahun 2025.
“Susulan cabaran terhadap kalendar perlumbaan F1 akibat konflik bersenjata di Asia Barat, penganjuran F1 Grand Prix Bahrain berdepan ketidaktentuan dan memerlukan penyelesaian segera bagi memastikan perlumbaan berprestij itu dapat diteruskan,” menurut hantaran itu.
Hantaran itu turut memaklumkan dalam usaha mencari jalan penyelesaian, Raja Bahrain mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon kepada Yang di-Pertuan Agong dan perbincangan berlangsung dalam suasana penuh mesra serta semangat persahabatan.
Perbincangan itu akhirnya menjadi titik tolak kepada kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia, Kerajaan Bahrain, Formula 1 dan Federation Internationale de l’Automobile (FIA).
“Hasil persefahaman itu, persetujuan berjaya dicapai untuk menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain di Litar Antarabangsa Petronas Sepang, sekali gus mengembalikan perlumbaan Formula 1 ke Malaysia selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2017.
Hantaran itu turut memaklumkan pengumuman litar Sepang sebagai tuan rumah bagi F1 Grand Prix Bahrain, diterima baik terutama dalam kalangan peminat F1 di Malaysia dan serantau sekali gus mencipta lembaran sejarah tersendiri, yang mencerminkan hubungan diplomasi diraja yang cukup baik antara Sultan Ibrahim dan Raja Hamad.
Semalam dilaporkan Malaysia bersedia menyambut kepulangan perlumbaan F1 ke Litar Antarabangsa Sepang selepas sembilan tahun, apabila bakal menjadi tuan rumah GP F1 Bahrain dari 2 hingga 4 Okt ini.
Kos ditanggung Bahrain,
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penganjuran GP F1
di Malaysia pada Oktober ini dijangka memberikan limpahan ekonomi jangka sederhana dan panjang menerusi peningkatan ketibaan pelancong serta pendedahan global, yang mampu menarik lebih banyak pelaburan dan acara bertaraf dunia.
Katanya, walaupun kos penganjuran ditanggung Bahrain, Malaysia tetap memperoleh manfaat ekonomi kerana perlumbaan itu akan disaksikan oleh jutaan penonton di seluruh dunia, selain memperkukuh kedudukan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai litar bertaraf dunia.
"Walaupun kita tahu perbelanjaannya besar, tetapi ini ditanggung oleh Bahrain.Kesan ekonomi bukan hanya dapat dilihat dari segi 'inbound tourists', tetapi juga daripada liputan media dan acara di seluruh dunia kerana penonton dan khalayaknya ialah berbilion.
"Ini akan memberikan kesan jangka sederhana dan panjang kepada negara kerana SIC mempunyai kemudahan bertaraf dunia, yang selama ini tidak digunakan sepenuhnya kecuali untuk MotoGP," katanya pada Majlis Perasmian Siaga Bencana Udara Kebangsaan 2026: Bengkel Pengurusan Bencana Udara di Sepang hari ini.
Ahmad Zahid berkata kejayaan menjadi tuan rumah F1 Bahrain juga boleh membuka ruang kepada Malaysia untuk kembali menganjurkan F1 pada masa depan dengan sokongan kerajaan dan penajaan sektor swasta.
"Saya harap untuk tahun-tahun mendatang Malaysia dapat memperuntukkan dana tertentu serta memperoleh penajaan syarikat supaya F1 dapat dianjurkan semula di negara ini.
"Untuk MotoGP umpamanya, Kabinet atas arahan Perdana Menteri memutuskan bahawa ia bukan hanya ditanggung oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui peruntukan Kementerian Kewangan, tetapi membabitkan projek pembangunan, penajaan dan penganjuran secara bersama menggunakan pendekatan smart partnership (perkongsian pintar)," katanya.
Semalam, Formula 1 dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengesahkan Malaysia akan menjadi tuan rumah GP Bahrain di SIC dari 2 hingga 4 Okt 2026, tertakluk kepada pemeteraian perjanjian akhir serta kelulusan rasmi termasuk daripada Majlis Sukan Permotoran Dunia.
Perlumbaan itu akan berlangsung antara GP Azerbaijan dan GP Singapura dalam kalendar F1.
- Bernama

