KUALA LUMPUR – Seramai 126 pelarian etnik Rohingya berkumpul di hadapan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling di sini pada Isnin selepas mendakwa diusir dari penempatan mereka di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.
Kumpulan tersebut, yang terdiri daripada lelaki, wanita serta kanak-kanak, tiba di ibu negara dengan menaiki tiga buah bas selepas diarahkan mengosongkan kediaman mereka. Sebahagian daripada mereka turut mendirikan khemah sementara di kawasan hadapan pejabat UNHCR sambil menunggu bantuan.
Menurut seorang pelarian, Hamid Hussein, mereka sebelum ini diberikan tempoh sebulan untuk berpindah, namun gagal mendapatkan tempat tinggal baharu.
"Kami cuba cari rumah tetapi tidak jumpa. Bila tamat tempoh, kami semua terpaksa keluar," katanya.
Seorang lagi pelarian, Umar Haris, berkata mereka berharap UNHCR dapat membantu mendapatkan penempatan baharu kerana kebanyakan keluarga kini tidak mempunyai tempat untuk berteduh.
Katanya, keutamaan mereka ketika ini ialah keselamatan dan kebajikan anak-anak yang turut berada bersama mereka.
Sementara itu, Seyed Kassim meluahkan kebimbangan mengenai nasib mereka sekiranya tiada bantuan diberikan.
"Kalau UNHCR tak boleh tolong kami, kami mahu pergi mana?" katanya sambil memaklumkan keadaan di lokasi turut menyukarkan wanita dan kanak-kanak.
Tinjauan di lokasi mendapati anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal keadaan bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sepanjang kumpulan berkenaan berada di hadapan pejabat UNHCR.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan mengarahkan UNHCR menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian bagi membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan melalui Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) di bawah kawal selia kerajaan.
-TunCarlos.com







