JOHOR BAHRU: Sejumlah 153 laporan polis diterima seluruh negara berkait kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan institusi diraja dengan proses pemilihan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata semua laporan itu diterima setakat jam 3 petang dan jumlahnya dijangka terus meningkat susulan perhatian meluas diberikan terhadap kenyataan berkenaan.
Katanya, antara laporan polis diterima pihaknya adalah daripada seorang bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor.
"Setakat jam 3 petang, 153 laporan polis diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat," katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 500 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ab Rahaman turut menasihatkan orang ramai menghormati proses siasatan sedang berjalan dan tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh mencetuskan kegentaran awam.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian bagi tujuan yang menyalahi undang-undang," katanya.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat serta dapat memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial serta kestabilan negara.

