KUALA LUMPUR – Hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan MIC dilihat semakin renggang apabila gabungan pembangkang itu secara rasmi mengumumkan keputusan menerima MIC sebagai parti anggota PN kini “tidak lagi relevan dan terbatal”.
Perkara itu diumumkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dipengerusikan Ahmad Samsuri Mokhtar pada 16 Mei lalu.
Menurut PN, sehingga kini Malaysian Indian Congress masih belum memberikan kata putus berhubung keputusan kemasukannya sebagai parti anggota PN yang telah dibuat sejak 9 Disember 2025.
Malah, PN turut membangkitkan kenyataan rasmi MIC sebelum ini bahawa parti tersebut “tidak pernah membuat permohonan rasmi” untuk menyertai gabungan berkenaan.
“Ekoran ketiadaan pengesahan itu, selain kenyataan rasmi MIC bahawa ia tidak pernah membuat permohonan rasmi menyertai PN, maka keputusan penerimaan MIC sebagai parti anggota PN yang dibuat sebelum ini malangnya tidak lagi relevan dan terbatal,” kata kenyataan itu.
Perkembangan tersebut dilihat sebagai tamparan politik kepada MIC yang sebelum ini dikaitkan dengan kemungkinan meninggalkan Barisan Nasional untuk membina kerjasama baharu bersama PN.
Dalam kenyataan sama, PN bagaimanapun menegaskan gabungan itu masih terbuka untuk meneroka kerjasama pilihan raya atau electoral pact dengan mana-mana parti yang berkongsi prinsip dan wawasan sama.
PN turut memaklumkan sebuah Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi memperincikan bentuk kerjasama strategik menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang.
Langkah itu dikatakan selari dengan usaha membentuk kerjasama politik nasional yang lebih matang, rasmi dan tersusun dalam menghadapi landskap politik semasa serta tekanan kos hidup rakyat.

