Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Mahkamah Rayuan benarkan Badan Peguam mula prosiding cabar DNAA Zahid



KUALA LUMPUR – Mahkamah Rayuan Putrajaya membenarkan rayuan Badan Peguam untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar tindakan Peguam Negara (AG) memberhentikan prosiding terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah dana Yayasan Akalbudi.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin membuat keputusan itu selepas mendapati permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran itu bukan sesuatu yang remeh dan tidak berasas.


Faizah yang membacakan keputusan panel, berkata permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman yang difailkan badan itu turut menimbulkan isu-isu yang boleh dibicarakan.

“Cabaran Badan Peguam (terhadap) kedudukan Peguam Negara dalam menghentikan pendakwaan terhadap responden kedua (Ahmad Zahid) bukanlah sesuatu yang remeh dan ia membangkitkan isu-isu yang boleh dipertikaikan.

“Ini adalah suatu kes yang wajar, jarang berlaku dan luar biasa dan ia mewajarkan satu pendengaran semakan kehakiman penuh berdasarkan merit,” katanya memetik BH di Putrajaya pada Khamis.

Panel sehubungan itu mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada Badan Peguam dan memerintahkan kes dikembalikan ke Mahkamah Tinggi bagi pendengaran substantif semakan kehakiman.

Yang turut bersidang, hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin .