SEREMBAN, 28 April – Kemelut politik di Negeri Sembilan terus memanas apabila Barisan Nasional (BN) negeri itu tampil menolak dakwaan bahawa tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka menarik sokongan terhadap Menteri Besar sebagai usaha “tebuk atap”.
Sebaliknya, BN Negeri Sembilan menegaskan langkah tersebut dibuat secara terbuka dan berasaskan prinsip, susulan hilangnya keyakinan terhadap kepimpinan Menteri Besar dalam mengurus isu melibatkan institusi negeri.
Menurut kenyataan rasmi, tindakan itu bukan gerakan sulit atau percubaan merampas kuasa, tetapi pendirian politik yang sah apabila kepercayaan terhadap kepimpinan sedia ada tidak lagi wujud.
“Ini bukan rundingan belakang tabir. Ini bukan perebutan kuasa. Ini soal keyakinan yang sudah hilang,” menurut kenyataan itu.
BN turut membidas naratif Pakatan Harapan (PH) yang menyifatkan situasi tersebut sebagai “tebuk atap”, sambil menegaskan bahawa krisis yang berlaku jauh lebih serius kerana melibatkan institusi adat, perlembagaan negeri serta kestabilan pentadbiran.
Menurut mereka, isu berkenaan tidak boleh disempitkan sebagai konflik politik biasa kerana ia menyentuh sensitiviti adat dan undang-undang tubuh kerajaan negeri.
Kenyataan itu juga mendedahkan rasa tidak puas hati apabila Exco daripada UMNO BN didakwa tidak dimaklumkan secara sewajarnya berhubung beberapa keputusan kerajaan negeri, khususnya yang dilihat menyentuh ruang adat.
“UMNO BN tidak campur urusan adat, namun apabila tindakan eksekutif dilihat memasuki ruang tersebut tanpa makluman, kami tidak boleh terus memikul tanggungjawab bersama,” jelas kenyataan berkenaan.
BN Negeri Sembilan turut menegaskan bahawa langkah menarik sokongan bukan semata-mata berkait prestasi harian Menteri Besar, tetapi lebih kepada keupayaan beliau mengendalikan krisis institusi yang sensitif.
Dalam masa sama, mereka menegaskan komitmen untuk terus menjunjung institusi diraja, menghormati adat serta mematuhi perlembagaan negeri dalam setiap tindakan susulan.
BN turut menggesa semua pihak agar tidak memperkecilkan krisis tersebut dengan naratif politik sempit, sebaliknya memberi ruang kepada pimpinan negeri untuk menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat.
“Rakyat berhak tahu bagaimana krisis ini berlaku, mengapa Exco tidak dimaklumkan dan bagaimana keyakinan boleh dipulihkan,” katanya lagi.
Kemelut ini dijangka terus menjadi perhatian apabila ia bukan sahaja melibatkan percaturan politik, malah turut menyentuh keseimbangan antara pentadbiran negeri, adat dan perlembagaan.



