Atlit Olimpik sukan lompat ski didakwa besarkan zakar untuk kelebihan terbang lebih jauh
Labels:
Isu Semasa
MILAN-CORTINA – Sukan lompat ski di Olimpik Musim Sejuk 2026 tiba-tiba menjadi perhatian dunia bukan kerana aksi atlet di udara, tetapi susulan satu dakwaan pelik yang kini digelar sebagai skandal “Penisgate”.
Laporan media Eropah mendakwa terdapat atlet lompat ski lelaki yang disyaki cuba memanipulasi ukuran badan mereka semasa proses pemeriksaan sut pertandingan, termasuk dengan cara membesarkan alat sulit secara sementara.
Dakwaan itu timbul kerana dalam acara lompat ski, saiz sut atlet dikawal ketat dan sebarang lebihan ruang pada pakaian boleh memberi kelebihan aerodinamik ketika melayang di udara.
Menurut laporan, terdapat spekulasi bahawa bahan seperti asid hialuronik yang biasanya digunakan dalam prosedur kosmetik mungkin disuntik untuk menghasilkan pembengkakan sementara bagi membolehkan atlet memakai sut yang lebih besar.
Bagaimanapun, pihak berkuasa sukan antarabangsa menegaskan bahawa setakat ini tiada bukti kukuh yang mengesahkan perkara tersebut benar-benar berlaku.
Persekutuan Ski dan Snowboard Antarabangsa (FIS) dilaporkan menganggap isu itu sebagai khabar angin yang dibesar-besarkan, namun tidak menolak kemungkinan siasatan lanjut jika terdapat laporan rasmi atau bukti sah.
Agensi antidoping dunia (WADA) turut memaklumkan bahawa walaupun bahan berkenaan bukan tergolong dalam senarai bahan terlarang, sebarang usaha untuk mendapatkan kelebihan tidak adil tetap bertentangan dengan semangat kesukanan.
Kontroversi ini pantas tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi, termasuk daripada peminat sukan yang terkejut dengan dakwaan luar biasa tersebut.
Sehingga kini, tiada atlet dinamakan secara rasmi dan tiada kes disiplin diumumkan, namun isu ini sudah cukup untuk mencetuskan perbincangan hangat menjelang temasya Olimpik Musim Sejuk 2026.

