Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isteri Daim nafi komplot jatuhkan kerajaan



KUALA LUMPUR: Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Menegaskan perkara itu dalam satu kenyataan, di sini semalam, beliau berkata, individu yang membuat laporan itu pada awalnya diambil bekerja sebagai anggota pasukan komunikasi yang dicadangkan, namun khidmatnya ditamatkan kerana prestasi tidak memuaskan.


"Selepas khidmatnya ditamatkan, beliau cuba membuat tuntutan kewangan tambahan. Jelas sekali ini adalah tingkah laku seorang lelaki yang tidak berpuas hati," katanya.

Na'imah mendakwa laporan itu bertujuan mengalih perhatian daripada gesaan supaya Tan Sri Azam Baki yang sudah tiga kali mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berundur.

Katanya, laporan itu dibuat tujuh bulan selepas mesyuarat yang didakwa berlaku dan ketika kerajaan berdepan apa yang disifatkannya sebagai antara skandal terbesar.

Na'imah turut merujuk laporan oleh Bloomberg yang diterbitkan pada September 2024, mendakwa wujud salah guna kuasa membabitkan SPRM dan Perdana Menteri, mendahului mesyuarat yang didakwa itu lebih 10 bulan.

"Konspirasi apa yang boleh wujud apabila Bloomberg sudah mendedahkan salah guna kuasa berkaitan SPRM dan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jauh lebih awal sebelum mesyuarat itu berlaku?" katanya.

Na'imah menyifatkan dakwaan beliau cuba menggugat atau menjatuhkan kerajaan sebagai tidak masuk akal, sambil menegaskan tidak pernah terbabit, mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha sedemikian.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana sebuah kerajaan boleh digulingkan dengan bantuan media antarabangsa atau firma perhubungan awam dan menegaskan mendapatkan khidmat nasihat firma perhubungan awam (PR) profesional bukan satu kesalahan.

Na'imah berkata, pendedahan terkini oleh Bloomberg terus menghakis keyakinan rakyat terhadap dakwaan Perdana Menteri memerangi rasuah, selain mendakwa kuasa institusi sedang digunakan sebagai senjata dalam suasana politik yang tegang.

"Akhir sekali, adalah tidak munasabah untuk menyimpulkan pendedahan rasuah dan salah guna kuasa pada peringkat tertinggi kerajaan sebagai percubaan menjatuhkan kerajaan.

"Saya mengekalkan semua hak perundangan saya terhadap dakwaan palsu dan merosakkan ini," katanya.