Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Laksamana Sabri Zali nafi semua tuduhan rasuah dan skandal

 

PUTRAJAYA - Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dan menyifatkannya sebagai tidak benar, mengelirukan serta berunsur fitnah serius.

Peguamnya, Muhammad Firdaus Jumaluddin yang bertindak sebagai jurucakap diberi kuasa berkata, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah turut membabitkan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhannya.


Menurut beliau, sehingga kini Sabri tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa.

“Terdapat pihak tertentu yang mendakwa memiliki kononnya ‘dokumen’, termasuk dokumen yang didakwa sebagai sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.

"Namun Datuk Sabri tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS) di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara selektif atau terbuka kepada pengubahsuaian dan manipulasi tidak boleh dianggap sebagai bukti salah laku atau sokongan terhadap sebarang kesalahan.

Dalam pada itu, Sabri mengekalkan sepenuhnya semua hak undang-undang beliau, termasuk hak untuk mengambil tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau mengulang siar kenyataan berunsur fitnah.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kepercayaan penuh terhadap kedaulatan undang-undang serta integriti institusi sah negara dan bersedia memberi kerjasama melalui saluran yang wajar sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa berkaitan.

“Segala soal jawab berkaitan isu ini hanya akan dijawab secara rasmi, formal dan sah di sisi undang-undang. Datuk Sabri tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif bersifat sensasi,” ujarnya.

Menurut beliau lagi, penyebaran tuduhan yang belum disahkan berpotensi mencemarkan reputasi individu, menjejaskan keyakinan awam serta membawa kepada ketidakadilan serius.

Sehubungan itu katanya, semua pihak diminta supaya memberi ruang kepada proses undang-undang yang sewajarnya dan menghentikan penyebaran dakwaan tidak berasas atau berniat jahat.