Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Kalau nak bercerai cakap betul-betul, bincang dua keluarga' -Azalina

 

PUTRAJAYA: Sebarang cadangan berhubung kedudukan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan serta kerjasama bersama PAS, mesti disalurkan menggunakan proses betul termasuk musyawarah, bukannya berlandaskan pandangan peribadi semata-mata.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pandangan perlu dibawa mengikut saluran perbincangan yang betul termasuk menerusi mesyuarat Biro Politik dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU).


"Orang kalau nak bercerai atau nak nikah balik, dia mesti ada masa iddah. Takkan nak cakap hari ini nak bercerai, semalam dah lafaz. Tak bolehlah begitu.

"Kalau nak bercerai, cakap betul-betul dan bincang dua keluarga, sulh dalam Islam. UMNO sejak (ditubuhkan) 1946, kita sudah melalui pelbagai cabaran.

"Kepimpinan dalam UMNO ini mempunyai kebijaksanaan mereka sendiri. Bermula dengan Biro Politik, kemudian kita ada PAU minggu depan. Saya rasa UMNO selalu bermusyawarah.

"Walaupun ahli UMNO tak semua nampak alim, tapi ada budaya Melayu dan Islam yang kita pakai," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), mengulas cadangan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang mahu UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan untuk menjadi pembangkang.

Dr Muhamad Akmal juga menggesa UMNO untuk segera membentuk penyatuan dengan PAS yang berpaksikan kepada komitmen menjaga serta melindungi agama dan bangsa.

Pada masa sama, Azalina mempertikai kaji selidik yang didakwa dibuat pihak Dr Muhamad Akmal terhadap permintaan supaya UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan.

"Adakah kaji selidik dibuat Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu hanya membabitkan ahli akar umbi UMNO atau mewakili keseluruhan pandangan khususnya daripada wakil rakyat.

"Itu pandangan dia, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin pun kata pandangan peribadi. Apa yang saya pelik ialah 1,800 kaji selidik dia buat itu, saya tidak tahu kaji selidik wakil rakyat ke atau ahli biasa.

"ADUN dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dia babitkan dalam kaji selidik itu atau tidak. Kita tidak tahu," katanya.