Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Dai Syed kekal bersalah merogol, dipenjara 10 tahun 3 sebatan mulai hari ini

 


SHAH ALAM - Pendakwah selebriti, Da’i Syed diperintah ke penjara serta-merta selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun termasuk tiga sebatan atas kes merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas menolak rayuan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman tersebut.

“Keterangan tertuduh bersifat penafian semata-mata dan tiada alasan khas bagi menangguhkan hukuman itu.

"Ia merupakan kesalahan yang serius dan sabitan serta hukuman dikenakan sebelum ini adalah selamat, justeru hukuman penjara itu bermula hari ini," kata hakim.

Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen di sini, menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas satu pertuduhan merogol seorang wanita.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019 lalu.

Atas kesalahan tersebut, dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.