KOTA BHARU – Kes rogol suka sama suka yang dikenal pasti melibatkan persetujuan bersama antara perempuan berusia 16 tahun kebawah dengan lelaki akan dirujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik) untuk tindakan lanjut di bawah Mahkamah Syariah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan ke atas perempuan bawah umur yang terlibat dengan perlakuan tersebut.
Menurut beliau, perkara itu diputuskan hasil mesyuarat bersama Jaheaik yang diadakan kira-kira dua bulan lalu.
"Pelaksanaannya telah bermula sejurus selepas mesyuarat berkenaan.
"Langkah tersebut adalah susulan titah Tuanku Sultan Kelantan supaya kes-kes rogol yang didapati melibatkan hubungan suka sama suka diserahkan kepada pihak berkuasa agama negeri," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.
Sebelum itu beliau merasmikan perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
Menurut beliau, sebanyak lima kes setakat ini telah dirujuk kepada Jaheaik, cuma belum diuar-uarkan kepada umum.
Mohd Yusoff memberitahu, remaja perempuan berusia 17 dan 18 tahun yang diklasifikasikan di bawah kesalahan ambang seksual Seksyen 14(a) akan turut didakwa di Mahkamah Syariah.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata, trend kes rogol di Kelantan menunjukkan sedikit penurunan berbanding sebelum ini.
"Kita tidak menolak kemungkinan penurunan ini berpunca daripada mangsa atau ibu bapa tidak berani untuk membuat laporan.
"Kebanyakan laporan yang diterima dari pegawai perubatan selepas mangsa di dapati hamil," katanya.

