Penjawat awam Pahang senyum besar dapat bonus dua bulan gaji, berbanding Terengganu RM500 saja
Labels:
Isu Semasa
KUANTAN - Penjawat awam Pahang akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji melibatkan peruntukan keseluruhan RM48 juta yang akan dikreditkan dua kali pada tahun hadapan.
Berita baik itu diumumkan Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika membentangkan Belanjawan Pahang 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Sri Pahang di sini pada Jumaat.
Menurutnya, bantuan itu diberikan sebagai menghargai segala pengorbanan, kesetiaan, keikhlasan serta khidmat bakti mereka sepanjang tahun.
“Kejayaan negeri hari ini tidak akan tercapai tanpa peranan penting penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran.
“Komitmen dan kesetiaan mereka adalah nadi yang menggerakkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, sebagai tanda terima kasih atas komitmen dalam memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam, Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy berkata kerajaan negeri julung kalinya memperuntukkan RM3.75 juta bagi Pemberian Insentif Khas Pahang 1st sebanyak RM200 kepada 18,743 kakitangan awam Persekutuan berpendapatan bawah RM3,000 pada 31 Disember ini.
“Saya amat berharap seluruh penjawat awam negeri dan Persekutuan terus berdiri teguh bersama kerajaan negeri untuk memperkasa iltizam, memantapkan integriti dan memelihara semangat berpasukan agar segala agenda pembangunan yang direncanakan dapat direalisasikan demi kemakmuran negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru agar penjawat awam kekal menjadi benteng pelindung yang mempertahankan kerajaan negeri apabila wujud suara-suara yang cuba memesongkan fakta, mengeruhkan persepsi dan menggugat keyakinan rakyat terhadap usaha yang telah dilaksanakan selama ini.

