KUALA LUMPUR, 27 Dis – Krisis politik di Perlis yang tercetus susulan peletakan jawatan Menteri Besar kini memperlihatkan isyarat jelas bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mahu sekadar menjadi penonton, sebaliknya dilihat mula menyusun langkah bagi merebut jawatan paling berkuasa di negeri itu.
Walaupun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan tiada arahan dikeluarkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu untuk menandatangani Akuan Berkanun (SD), kenyataan beliau bahawa BERSATU hanya akan menyerahkan nama calon Menteri Besar selepas dititahkan Istana telah mencetuskan tanda tanya besar dalam kalangan pemerhati politik.
Pendirian itu dilihat seolah-olah memberi gambaran bahawa BERSATU sedia menamakan calon sendiri, meskipun PAS ketika ini merupakan parti yang menerajui pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Perlis.
Lebih menarik, BERSATU turut memaklumkan akan memanggil ADUN-ADUNnya bagi mendapatkan penjelasan berhubung krisis tersebut, satu langkah yang dianggap sebagai usaha mengukur sokongan dalaman sekiranya perebutan jawatan Menteri Besar benar-benar berlaku.
Dalam kenyataannya, Muhyiddin menyatakan penghormatan terhadap kuasa DYMM Raja Perlis serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, namun tindakan mengeluarkan kenyataan awal berhubung pencalonan Menteri Besar dilihat terlalu awal dan sarat dengan mesej politik.
Walaupun beliau menegaskan bahawa Perikatan Nasional menghormati kedudukan PAS sebagai parti yang memimpin PN Perlis, perkembangan terkini ini menimbulkan persoalan sama ada penghormatan itu sekadar retorik, atau benar-benar mencerminkan realiti hubungan dalaman gabungan berkenaan.
Pemerhati politik berpendapat, krisis ini membuka ruang kepada persaingan kuasa dalaman PN, khususnya apabila jawatan Menteri Besar dilihat terlalu strategik untuk dilepaskan, walaupun berisiko mencetuskan ketegangan antara parti komponen.
Situasi ini sekaligus menimbulkan persepsi bahawa jawatan lebih diutamakan berbanding kestabilan, ketika rakyat Perlis mengharapkan penyelesaian pantas dan bukan permainan politik di belakang tabir.


