KOTA KINABALU - Satu gambar tular di media sosial memaparkan sekumpulan 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa ADUN bebas dipercayai berada di sebuah hotel di sini.
Kumpulan ADUN berkenaan didakwa berkumpul susulan rasa tidak puas hati terhadap keputusan membenarkan Barisan Nasional (BN) Sabah menyertai kerajaan baharu yang dibentuk Datuk Seri Hajiji Noor selepas Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).
Hasil tinjauan Sinar Harian pada malam Isnin mendapati ADUN Klias, Datuk Isnin Aliasnih dilihat keluar dari hotel tersebut.
Ketika disapa pemberita, beliau menegaskan bahawa pertemuan itu hanyalah perbincangan biasa dan tidak melibatkan sebarang gerakan besar.
"Saya tinggal sini, saya kopi-kopi saja... kami ada 12 YB (ADUN) dengan saya.
"Ada Bebas, GRS," katanya ketika disapa pemberita.
Ketika ditanya sama ada pertemuan itu membincangkan pembentukan kerajaan baharu, Isnin menafikan perkara tersebut dan menegaskan kerajaan pimpinan Hajiji kekal stabil.
"Masih dengan kerajaan... Ya (kukuh termasuk lima bebas).
"Kita kopi-kopi, tiada gerakan apa-apa. Kita masih setia, kita bersama dengan Ketua Menteri dan kerajaan GRS," katanya.
Beliau turut mengakui terdapat sedikit rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka, namun menjelaskan isu itu kecil dan boleh diselesaikan melalui perbincangan.
"Memang kita ada sedikit rasa tidak puas hati tapi benda kecil saja dan boleh dibincang. Memang ada sedikit rasa kecewa, kecil hati.
Menurutnya, ketidakpuasan itu timbul kerana mereka baru sahaja berentap dengan BN dalam PRN17.
"Sebab kita baru berperang dengan mereka, baru saya berlawan kelmarin.
"Tapi politik begitulah... hari ini lawan, esok kawan. Hari ini kawan, esok lawan. Jadi kita bincang, solusi yang bagus," jelasnya.
Untuk rekod, Sabah telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah (Pindaan 2023) yang memperuntukkan larangan kepada ADUN bertukar parti.
RUU tersebut yang digubal selaras dengan prinsip undang-undang anti lompat parti di peringkat Persekutuan, diluluskan selepas mendapat sokongan lebih dua pertiga ADUN pada 2023.
Langkah itu sekali gus memastikan mana-mana ketidakpuasan dalaman atau rundingan politik tidak boleh membawa kepada tindakan lompat parti.
Sebaliknya, perkara tersebut perlu diselesaikan melalui saluran perbincangan dalam blok masing-masing.

