KOTA KINABALU – Saksi ke-20 memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir didengar oleh pelajar lain berkurung di dalam tandas pada malam kejadian.
Saksi yang merupakan kanak-kanak ke-11 memberi keterangan secara in camera di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan pada Isnin.
Peguam, Rizwandean M Borhan berkata, saksi dimaklumkan bahawa pelajar junior lain telah menyelongkar barang-barang milik Zara Qairina untuk mencari barangan yang hilang.
“Saksi berkata dia ada dengar daripada pelajar lain bahawa pada malam itu Zara berkurung di tandas.
“Tetapi saksi tidak tahu pada jam berapa perkara itu berlaku. Sekitar jam 3.50 pagi, saksi dikejutkan oleh seorang rakan yang memaklumkan bahawa seorang pelajar telah ditemui tidak sedarkan diri dan diangkat ke hujung asrama sementara menunggu ketibaan ambulans. Kemudian, saksi mengetahui bahawa pelajar yang ditemui dan dipindahkan itu ialah Zara,” katanya kepada pemberita selepas inkues tersebut berlangsung.
Tambah beliau, saksi menyatakan bahawa pada pagi 16 Julai lalu, dia keluar menghadiri aktiviti sekolah dan hanya mengetahui keadaan Zara Qairina yang tenat selepas pulang pada waktu petang.
“Saksi juga menyatakan bahawa beliau tidak menyaksikan sebarang kejadian pukul terhadap Zara dan hanya mengetahui kejadian malam itu menerusi cerita daripada rakan-rakan lain,” katanya.
Mengulas mengenai perkembangan lain, Rizwandean memaklumkan bahawa prosiding inkues akan disambung semula pada Selasa dan pasukan Pemeriksa Dokumen Forensik masih meneruskan pemeriksaan mereka.
"Pasukan ini dianggotai oleh Pemeriksa, Tay Eue Kam (Dokumen Forensik Bebas), Dr Dzulkiflee Ismail serta Dr Wan Nur Syuhaila Mat Desa yang merupakan Pensyarah dan Penyelidik Kanan Program Sains Forensik, Universiti Sains Malaysia (USM)," jelasnya.
Sementara itu, Rizwandean bersama pasukannya iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu kepada Allahyarham, Noraidah Lamat.
Terdahulu, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.