PN janji beri RM500 sebulan, bebas beli apa saja -Hamzah
Perikatan Nasional (PN) bercadang memperkenalkan sebuah insentif baru yang dinamakan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) jika mereka diberikan mandat untuk mentadbir negara.
Insentif ini bernilai RM500 sebulan atau RM6,000 setahun bagi setiap isi rumah yang layak.
Menurut Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketua pembangkang, bantuan ini akan diberikan secara tunai penuh tanpa sebarang syarat terkongkong berbeza dengan skim Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang menurutnya terlalu berkait syarat.
Beliau menyatakan:
“PN akan beri bantuan dan kita serahkan kepada rakyat untuk membeli apa yang mereka mahukan dan perlukan.”
Hamzah menyatakan bahawa transformasi kepada BPN bukan sekadar soal kewangan, tetapi juga usaha menyusun semula jaringan keselamatan sosial negara supaya ia lebih adil dan bermaruah. Ini akan melibatkan rombakan dalam struktur sedia ada supaya dana dan bantuan dapat diuruskan secara lebih bermakna.
Seorang lagi dari PN, Datuk Rosol Wahid, turut menyebut bahawa ramai peniaga kecil merungut bahawa bantuan SARA sebelum ini hanya boleh digunakan di pasar raya besar yang menurut beliau, didominasi oleh pemilik besar.
Dalam konteks itu, Hamzah menekankan bahawa di bawah BPN, penerima bebas membelanjakan wang bantuan di mana-mana kedai, termasuk kedai runcit tempatan.
Namun demikian, cadangan ini mendapat reaksi dari pihak PH, khususnya Ahli Parlimen Suhaizan Kiat, yang membangkitkan kebimbangan jika wang bantuan itu digunakan untuk membeli barang tidak produktif seperti rokok.
Hamzah membalas bahawa persoalan tersebut seolah-olah menuduh rakyat tidak mampu menilai sendiri penggunaan wang bantuan satu tanggapan yang dianggapnya tidak adil.
Pada waktu ini, kerajaan telah pun melaksanakan skim SARA RM100 satu kali kepada lebih 22 juta rakyat dewasa melalui MyKad masing-masing.
Namun wang tersebut hanya boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di premis yang sudah ditetapkan, seperti Mydin, Lotus’s, Econsave dan 99 Speedmart.
Skim ini dijangka akan disalurkan sekali lagi pada bulan Februari untuk menampung sambutan Ramadan dan Tahun Baharu Cina kelak.
-TunCarlos.com