SEBERANG PERAI – Mayat seorang wanita dan anaknya yang dibunuh dalam kejadian di Kampung Sekolah di Juru di sini, malam tadi dibawa keluar dari rumah mereka sekitar jam 1.50 pagi untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) bagi tujuan bedah siasat.
Proses itu selepas pasukan polis, forensik dan pakar patologi selesai menjalankan siasatan termasuk melakukan proses pengumpulan bahan bukti di tempat kejadian.
Difahamkan, pasukan siasatan menemui sebilah pisau dalam semak berhampiran rumah tersebut yang dipercayai membantu siasatan pembunuhan terbabit.
Menurut wartawan MalaysiaGazette yang membuat liputan di lokasi kejadian mendapati kawasan kediaman kedua-dua mangsa itu dikawal rapi oleh anggota polis bagi mengelakkan orang awam merakamkan kejadian tersebut.
Turut kelihatan keluarga mangsa yang dipercayai datang dari Sik, Kedah.
Audio suami mangsa tular
Dalam perkembangan lain, satu rakaman suara berdurasi 18 saat yang dipercayai suara suami mangsa tular di media sosial selepas kejadian.
Menerusi audio berkenaan, lelaki itu dipercayai memaklumkan kepada rakannya mengenai pembunuhan isteri dan anak mereka.
Petikan suara yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp itu berbunyi, “Assalamualaikum Daus, esok abang tak kerja tau, isteri aku dengan anak aku kena bunuh dekat rumah. Aku balik-balik tengok pintu terbuka, aku tengok bini aku melimpah darah, anak pun kena bunuh.”
Jiran tergamam
"Suaminya datang ke rumah bagi salam dua kali dan beritahu isteri dan anaknya kena bunuh, saya tergamam, meremang bulu roma tak tahu nak cakap apa,". Itu reaksi Ida, jiran kepada dua beranak yang dipercayai dibunuh di rumah sewa mereka di Kampung Sekolah Juru, di sini, malam ini.
Ida, 51, berkata suami kepada mangsa bekerja sebagai pengawal keselamatan datang dalam keadaan cemas dan bertanya sama ada dia ternampak kereta atau apa-apa kenderaan mencurigakan masuk ke kawasan rumahnya.
"Ketika itu baru azan Maghrib, dia yang masih dalam pakaian kerja baru balik dengan menunggang motosikal. Air mukanya nampak sebak sebelum dia bergegas pergi.
"Saya memang tak perasan apa-apa yang pelik atau dengar bunyi bising atau suara orang menjerit jadi tak sangka langsung perkara malang ini berlaku," katanya.
Dah berpuluh tahun tak pernah ada kes jenayah di kampung
Seorang lagi jiran mangsa, Ideris, 61, berkata mangsa berusia 51 tahun hanya dikenali dengan nama Su dan keluarganya menyewa di rumah tersebut kira-kira dua tahun lalu dan pernah mengadakan kenduri perkahwinan anak lelaki mereka awal tahun ini.
Katanya, kedua-dua suami isteri itu sekadar bertegur sapa atau berbalas senyum setiap kali terserempak kerana mereka biasanya bekerja pada awal pagi dan waktu pulang bekerja tidak menentu kerana dipercayai mengikut syif.
"Apa yang saya tahu, mangsa kerja sebagai tukang masak kantin, tapi tak tahu kantin apa, dulu dia berniaga nasi lemak. Mereka jenis orang bekerja dan tidak banyak bercakap.
"Suaminya sesekali ada singgah solat Maghrib berjemaah di masjid selepas balik kerja," katanya.
Ideris berkata, selama puluhan tahun tinggal di kampung berkenaan tidak pernah berlaku jenayah sedemikian termasuk kes samun atau pecah rumah.
"Pak cik ingat kalau ada pun kes pecah rumah, itu pun dah lama bertahun-tahun dulu jadi tiada ketakutan atau kerisauan apa pun kami tinggal di sini," katanya.
Sementara itu tinjauan mendapati pasukan perubatan termasuk dari Hospital Seberang Jaya dan unit forensik polis dilihat membawa keluar mayat dua beranak berkenaan kira-kira jam 1.50 pagi tadi
Setakat ini, polis belum mengesahkan punca kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, Ketua Polis negeri, Datuk Azizee Ismail mengesahkan seorang wanita berusia 51, dan anaknya berumur 11 tahun mati dibunuh.
-TunCarlos

