IPOH - Seorang wanita ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Kuala Kuang dekat Chemor di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, maklumat kejadian itu diterima sekitar jam 12.30 tengah hari daripada seorang lelaki.
Menurutnya, individu berkenaan memaklumkan, mangsa yang merupakan warga Myanmar berada dalam keadaan tidak disedarkan diri di rumah terbabit.
"Sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh telah ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat.
"Pemeriksaan ke atas mayat wanita itu kemudiannya mendapati mangsa telah pun meninggal dunia," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Isnin.
Menurut beliau, polis telah menahan suami mangsa bagi membantu siasatan.
"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
"Buat masa ini punca kematian dan motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk bedah siasat -Sinar