KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Datuk Seri Azmin Ali tidak layak untuk menjadi pemimpin BERSATU selagi kontroversi berhubung video tular yang didakwa membabitkan dirinya pada 2019 belum diselesaikan.
Meskipun mengakui menerima pelantikan Azmin sebagai Setiausaha Agung BERSATU ketika diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden, Wan Saiful berkata situasi itu berubah selepas beliau menerima maklumat baharu yang mendakwa siasatan forensik terhadap video membabitkan Azmin di Sandakan itu sebagai tulen.
"Sebaik sahaja selepas perhimpunan, saya menerima maklumat baharu mendakwa siasatan forensik terhadap video melibatkan Azmin di Sandakan mendapati video itu adalah tulen.
"Ini mengubah pendirian saya terhadap Azmin dan saya menyuarakan pandangan kepada beberapa pihak bahawa selagi isu video ini tidak diselesaikan, Azmin tidak sesuai untuk menjadi pemimpin BERSATU," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai dakwaan cubaan menjatuhkan Presiden BERSATU menerusi akuan bersumpah (SD) di sini hari ini.
Klip video tular didakwa membabitkan Azmin yang ketika itu Menteri Hal Ehwal Ekonomi tersebar pada 2019 dipercayai diambil dari sebuah hotel di Sandakan, Sabah.
Peguam Negara ketika itu, Tommy Thomas mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dibuat daripada video intim kontroversi yang dikaitkan dengan Azmin itu.
Thomas melalui kenyataan medianya berkata, pakar forensik Amerika Syarikat gagal mengenal pasti individu dalam video berkenaan kerana resolusi rendah.
"CyberSecurity Malaysia telah membuat kesimpulan walau pun video-video tersebut adalah tulen, pengecaman wajah tidak dapat dipastikan kerana resolusi rakaman video yang rendah yang mana analisis telah dijalankan," katanya.
Tambah Wan Saiful, maklumat yang diterimanya itu membuatkan dirinya menjauhi Azmin dan menyebabkan hubungan beliau bersama Setiausaha Agung BERSATU itu dingin.
"Saya berpandangan kalau ia fitnah politik, ya, kita mesti pertahan dan lawan... tetapi kalau ia isu moral yang menyimpang, maka ia tidak sesuai untuk parti seperti BERSATU.
"Parti lain mungkin boleh terima tetapi bukan BERSATU," katanya.
BH sementara itu cuba mendapatkan komen Azmin mengenai kenyataan dibuat Wan Saiful melalui sidang media hari ini.
video:
'

