![]() |
Tok Mat dan Antonio Guterres, Setiausaha Agong PBB |
NEW YORK: Malaysia menerima pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, yang memuji peranan dalam kepemimpinan ASEAN serta pendirian tegas dalam isu Gaza.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata Guterres turut menyatakan sokongan penuh PBB terhadap Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan mengesahkan kehadirannya pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
"Gueterres amat menghargai dan memuji peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, malah beliau sendiri menyatakan pada pertemuan tadi, bahawa beliau akan hadir pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur Oktober ini," kata beliau kepada media di Pejabat Misi Tetap Malaysia ke PBB.
Dalam satu pertemuan tertutup, menurut Mohamad, Guterres menegaskan konflik Gaza kini melampaui batas kemanusiaan dan gembira dengan pendirian Malaysia termasuk ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lantang memperjuangkan isu berkaitan Palestin di pentas antarabangsa.
"Setiausaha Agung akan memberikan sokongan diperlukan oleh Malaysia dan ASEAN untuk kita sama-sama pastikan supaya isu Gaza ini dapat diselaraskan dan akhirnya nanti akan dapat tertubuhnya sebuah negara Palestin yang merdeka, insya-Allah." katanya.