Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Kecoh kejadian tembakan di R&R Behrang




Teluk Intan: Adegan sekumpulan anggota polis mengejar dan melepaskan tembakan bagi memberkas individu di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang adalah membabitkan suspek kes pecah rumah.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, dalam kejadian 12.30 tengah hari tadi, satu das tembakan dilepaskan polis ke arah tayar kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Aruz yang dipandu suspek lelaki berumur 35 tahun berkenaan dalam usaha memperlahankan kenderaan bagi menangkap suspek.


Menurutnya, Perodua Aruz dipandu suspek adalah satu daripada tiga kenderaan MPV yang dikejar polis dari kawasan Manjung namun sempat meloloskan diri, manakala dua lagi MPV lolos membabitkan Toyota Hilux dan Perodua Alza.

"Suspek pemandu Perodua Aruz berjaya dikesan anggota polis dari unit Rondaan Cegah Jenayah (IPD) Tapah yang mengejar kenderaan suspek hingga ke R&R Behrang.

"Hasil pemeriksaan pada Perodua Aruz itu menemukan pelbagai peralatan bagi kegiatan pecah rumah di samping 'jaket' tertera label polis.

"Sebenarnya dia suspek bagi kes pecah rumah di daerah Manjung. Jadi apabila tiga kenderaan suspek dikejar sekitar Manjung, suspek yang memandu Perodua Aruz menghala ke Tapah menggunakan laluan antara Manjung dan Tapah sebelum bertembung dengan RCJ IPD Tapah yang kemudian mengejarnya hingga ke Behrang.

"Kita terpaksa melepaskan satu das tembakan itu untuk memperlahankan kenderaan suspek kerana kita pun awalnya tak tahu apa sebab dia lari. Jadi bila kita dapat menangkapnya baru kita jumpa pelbagai barang yang digunakan untuk pecah rumah," katanya sewaktu ditemui pemberita dalam Program Ter.. Paling Pahlawan Challenge anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy, di sini petang ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin.

Katanya lagi, kes dirujuk IPD Manjung, di samping menyifatkan insiden itu membuktikan kolaborasi kerjasama baik antara pentadbiran polis daerah.

Terdahulu, tular video memaparkan kejadian di mana sekumpulan anggota polis mengejar dan menahan penjenayah tengah hari tadi di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) Behrang di Tanjung Malim.

video: