KOTA KINABALU: Ketua Warden Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Azhari Abd Sagap, memberitahu Mahkamah Koroner di sini, hari ini, bahawa 'Kak M' membuat kenyataan 'berbaur ugutan' terhadap arwah Zara Qairina Mahathir dan seorang lagi pelajar kerana berada dalam keadaan emosi tidak stabil.
Azhari berkata, 'Kak M' didakwa mengeluarkan kata-kata 'kalau aku touch-touch kau ini, berdarah kau ni' selepas mengetahui adik perempuannya dikatakan diejek oleh Zara Qairina dan seorang lagi pelajar itu.
"Seperti yang saya katakan, Kak M berada dalam keadaan emosi tidak stabil. Dia memberitahu kami, ia kerana biliknya semak serta kotor. Itulah sebabnya dia cakap begitu, itu saja," katanya.
Saksi kelapan inkues kes kematian Zara Qairina itu memaklumkan, 'Kak M' didakwa berkata sedemikian ketika lalu di hadapan bilik adik perempuannya yang sedang berjumpa Zara Qairina dan seorang lagi pelajar ketika itu.
Beliau berkata, Zara Qairina dan pelajar lain itu didakwa telah mengejek adik perempuan 'Kak M' yang berada di Tingkatan Dua, dengan menulis nota: 'Dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1 (Tingkatan Satu), padahal baru juga junior'.
Katanya, nama panggilan kepada adik 'Kak M' itu juga disebut dalam bukti yang telah diserahkan kepada polis.
Peguam, Joan Goh yang mewakili seorang daripada tertuduh kanak-kanak dalam kes berkait Zara Qairina, kemudian bertanya kepada Azhari mengenai maksud 'sok sok' dan 'orku.'
Azhari menjelaskan bahawa 'sok sok' bermaksud 'acah atau berlagak seperti', manakala 'orku' pula akronim kepada 'orang kuat.'
Sebelum ini, warganet menuduh 'Kak M' sebagai individu terbabit dalam kes membuli Zara Qairina.
Ia susulan tular rakaman audio perbualan antara Zara Qairina dengan ibunya, dalam media sosial.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang di tingkat bawah bangunan asrama, sebelum disahkan meninggal dunia pada keesokannya.
video: