SHAH ALAM - Salah sebuah kapal dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) yang dinaiki sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA dan Ustaz Mad Kechik mengalami kerosakan akibat serangan dron baru-baru ini.
Perkembangan itu dikongsikan oleh seorang peserta misi berkenaan, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurutnya, kerosakan tersebut menyebabkan sukarelawan kapal berkenaan terpaksa bertukar kapal lain bagi melanjutkan perjalanan mereka ke Gaza.
“Kapal Luna Bark yang dinaiki ZRA dan Ustaz Mad Kechik rosak kerana serangan dron. Mereka berpindah ke kapal lain dan meneruskan perjuangan,” katanya.
Sebelum ini, Zainal memaklumkan semua kapal dalam misi GSF mengambil kesempatan membaiki sebarang kerosakan termasuk kapal yang dinaikinya, memandangkan Global Sumud Flotilla memilih berlabuh sehari di Grete, Greece pada hari kesembilan.
Zainal berkata, layar kapal yang dinaikinya koyak kesan daripada stan ‘grenade’ Israel pada serangan 24 September lalu.
Pelayaran GSF yang membawa makanan, ubat-ubatan dan mesej keamanan dijadualkan tiba di perairan Gaza pada hujung bulan ini dengan penyertaan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Timur Tengah.
Semua sukarelawan Malaysia berada di bawah panji Sumud Nusantara, diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri.