MELAKA - Seorang pelajar kolej mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan perbuatan liwat dengan rakan lelakinya yang juga pekerja kilang,
Tertuduh, Muhammad Nabil Junaidi, 24, yang beralamat di Johor membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Kanan, Abu Bakar Mohd Daud.
Bagaimanapun, hakim menangguhkan hukuman yang akan diputuskan pada 22 Oktober depan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati dengan sengaja melakukan liwat bersama Mohammad Fahmi Kamarudin, 26, dengan cara membenarkan dia memasukkan kemaluannya ke dalam dubur.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, pada 11 April lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, pasangan tersebut dan seorang lagi lelaki, Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, yang juga seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi, turut mengaku bersalah atas pertuduhan bersama-sama dan dengan sengaja cuba melakukan liwat dengan cara meraba serta melakukan seks oral secara bertiga.
Kesalahan itu dilakukan di dalam sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor, di sini pada 27 Julai lalu.
Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 57 enakmen sama yang membawa hukuman serupa.
Namun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam dan masih bujang, masing-masing hanya merayu agar hukuman diringankan.
Sementara itu, pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Atras Mohamad Zin dan Timbalannya, Norazita Mohd Ali, yang memohon hukuman maksimum termasuk penjara, mengambil kira cara ketiga-tiga tertuduh membuat rayuan yang didakwa tidak menunjukkan keseriusan terhadap kesalahan yang dilakukan.
Beliau berhujah, sebagai satu pengajaran, ketiga-tiga tertuduh wajar dikenakan hukuman maksimum, bukan sahaja sebagai pengajaran kepada mereka, tetapi juga kepada masyarakat, lebih-lebih lagi dalam era yang penuh cabaran ini.
Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh 22 Oktober depan untuk menjatuhkan hukuman, dan membenarkan setiap tertuduh dijamin RM3,000 atau dengan seorang penjamin.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan perbuatan tiga lelaki dipercayai terlibat dalam hubungan sejenis dan seks berkumpulan terbongkar selepas mereka dicekup oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dengan kerjasama polis pada Khamis.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, ketiga-tiga lelaki terbabit berusia 21, 24 dan 26 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari selepas JAIM menerima aduan disertakan bukti bergambar dan rakaman video yang menunjukkan perlakuan mereka.
“Kesemua telefon bimbit milik suspek telah disita bagi membantu siasatan dan dijadikan barang kes,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.