Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Gelombang 'JusticeForZara' tersebar seluruh dunia


SHAH ALAM - Gelombang solidariti buat pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, bukan setakat dalam negara bahkan sudah tersebar ke seluruh dunia.

Kisah tragis menimpa gadis asal Sipitang, Sabah itu kini menjadi bualan ramai termasuk rakyat Brunei, Thailand, Indonesia, Filipina, Korea Selatan, China, Jepun, Kemboja, Myanmar, Laos, malah United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS).


Kesemuanya turut menggunakan #JusticeforZara sebagai tanda solidariti dan bukti kebersamaan dalam menuntut keadilan buat mangsa.

Solat hajat dan bacaan yasin juga diadakan di beberapa tempat sepertimana seruan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini.

Wargamaya termasuk pengguna media sosial luar negara turut meluahkan rasa takut untuk menghantar anak ke sekolah berasrama penuh selepas ini kerana bimbang berlaku kejadian tak diingini atau menjadi mangsa buli selepas mendengar kisah Zara Qairina.

Berita pemergian Zara Qairina mendapat liputan meluas di seluruh dunia dan ramai turut menggesa kerajaan Malaysia untuk tidak berlengah-lengah dalam membuat siasatan.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Zara Qairina yang merupakan pelajar Tingkatan Satu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah agama berasrama penuh dalam kejadian 16 Julai lalu.

Mangsa ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Kematiannya mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.