KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG), syarikat induk kepada Malaysia Airlines, telah melaksanakan hak pembeliannya untuk memperoleh tambahan 20 pesawat A330neo melalui pesanan terus dengan Airbus.
Dalam satu kenyataan hari ini, MAG berkata pembelian terbaharu itu memperkukuh strategi jangka panjang kumpulan yang memfokuskan kepada pembaharuan armada dan pengembangan rangkaian penerbangan.
"Dengan pembelian ini, Malaysia Airlines dijangka menjadi antara pengendali A330neo terbesar di rantau Asia Pasifik, seterusnya mengukuhkan kedudukan sebagai syarikat penerbangan premium terkemuka di salah satu pasaran pelancongan paling pesat berkembang di dunia," katanya.
Pesanan baharu ini adalah lanjutan kepada komitmen awal MAG pada tahun 2022, yang merangkumi 20 pesawat A330neo – terdiri daripada 10 pesawat dibeli secara langsung dan 10 dipajak daripada syarikat penyewaan pesawat, Avolon.
Dengan tambahan ini, jumlah keseluruhan pesawat A330neo dalam kumpulan meningkat kepada 40 buah.
MAG menjangkakan penghantaran pesawat daripada pesanan tambahan ini akan bermula secara berperingkat antara 2029 dan 2031.
Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata pesawat A330neo memberikan keseimbangan antara kecekapan operasi dan keselesaan kabin yang diperlukan untuk menyokong strategi pertumbuhan syarikat.
"Dengan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik serta kebolehsesuaian untuk laluan serantau dan jarak jauh, pesawat ini amat sesuai untuk memenuhi keperluan pasaran kami yang terus berkembang," katanya.
Beliau menambah, pesanan ini juga mencerminkan visi jangka panjang MAG dalam membina armada yang mampan dan berdaya saing untuk masa depan, selaras dengan keperluan penumpang dan dinamika pasaran.
"Kami komited untuk menyokong pertumbuhan mampan syarikat dengan menawarkan nilai berterusan kepada pelanggan dan memperkukuh daya saing di pasaran utama," katanya.