ARAU: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli gagal merebut jawatan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Arau dalam pemilihan parti hari ini.
Mohd Shukri tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi yang terus diangkat perwakilan bagi memimpin PAS Arau untuk sesi 2025-2027.
Mohd Shukri hanya meraih 43 undi berbanding Solahudin yang memperoleh 128 undi.
Pemilihan hari ini menyaksikan kejutan khususnya bagi jawatan tertinggi di Arau.
Ini selepas tiga daripada empat EXCO Perlis tewas dalam cabaran merebut jawatan YDP, Timbalan YDP dan Naib YDP PAS Kawasan.
Bagi perebutan jawatan Timbalan YDP, EXCO Belia dan Sukan Negeri, Mohd Ridzuan Hashim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Sanji menang mudah apabila meraih 135 undi menewaskan penyandang, Speaker DUN Perlis, Rus'ele Eizan yang hanya memperoleh undi sebanyak 34 undi.
Dalam persaingan bagi jawatan Naib YDP pula, EXCO Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan Negeri, Razali Saad yang juga ADUN Simpang Empat tewas apabila hanya memperoleh 39 undi berbanding pencabarnya yang juga penyandang jawatan itu, Mohd Yusairi Mansor yang menang dengan undi sebanyak 130 undi.
PAS Kawasan Arau mengadakan mesyuarat agung tahunan hari ini membabitkan 173 perwakilan daripada 60 cawangan.
Solahuddin dalam ucapannya menzahirkan kesyukuran apabila berjaya mempertahankan jawatan itu sekali lagi.
"Keputusan ini menunjukkan keyakinan perwakilan terhadap gandingan kepemimpinan kawasan sedia ada dan ini tidaklah menjejaskan peranan dan sumbangan besar pemimpin kerajaan negeri dalam memacu pentadbiran berlandaskan prinsip Islam dan jemaah.
"Kekalahan dalam pemilihan ini tidaklah bermaksud ahli menolak kepimpinan kerajaan negeri, sebaliknya ia adalah proses biasa dalam budaya politik PAS yang matang.
"Pertandingan dalam pemilihan ini membuktikan bahawa PAS mengamalkan demokrasi tulen di peringkat akar umbi," katanya.
Walaupun begitu, terdapat banyak dakwaan bahawa kekalahan Menteri Besar disebabkan terpalit dengan kes rasuah dan tuntutan palsu anak lelakinya.
Pada Mei 2024, Mohd Syafeeq Mohd Shukri yang juga anak Menteri Besar Perlis dituduh di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai RM19,000.
Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah dan, mahkamah memutuskan ikat jamin sebanyak RM20,000 dan kes disebut semula pada 28 Jun ini.
PAS Kawasan Kangar pula dijangka mengadakan mesyuarat agung pada 28 Jun yang bakal menyaksikan pertembungan antara penyandang YDP, Yussaine Yahya dan Ahli Dewan Negara, Baharudin Ahmad.
Di Padang Besar yang mesyuarat agungnya pada 22 Jun juga menarik perhatian apabila penyandang YDP, Saad Seman iaitu ADUN Chuping akan dicabar Muhammad Azmir Azizan yang juga EXCO Perlis.