SHAH ALAM: Kebocoran dan kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights, Subang Jaya pada pagi 1 April lalu, berpunca daripada keadaan tanah yang tidak stabil di bawah permukaan dan bukannya akibat sebarang aktiviti di atas tanah.
Hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia mendapati, paip gas bertekanan tinggi yang meletup itu telah memenuhi semua spesifikasi teknikal ditetapkan.
Menurut Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, kegagalan fizikal berlaku pada bahagian bawah paip yang tidak disokong sepenuhnya oleh tanah, menyebabkan ia bocor dan terbakar.
Katanya, segmen paip yang tidak disokong itu terletak di atas tanah yang dikenal pasti lembut dan lembap, yang akhirnya menyumbang kepada ketidakstabilan paip.
“Tanah yang lemah ini menyebabkan paip bergerak berulang kali (cyclic loading), yang menimbulkan tekanan berulang (stress lines) dan garis keletihan (fatigue striations) pada permukaan paip.
“Analisis metalografi menunjukkan tensile overload menjadi punca utama kegagalan.
“Kerosakan itu berkembang secara perlahan sehingga menyebabkan kegagalan ductile (ductile failure) yang melepaskan gas dan mencetuskan kebakaran,” katanya dalam satu sidang media khas di sini, hari ini.
Jelasnya, kegagalan paip disebabkan oleh keadaan tanah di bawah paip yang tidak cukup kuat untuk menampung berat, menyebabkan ia menjadi tidak stabil, bocor, dan akhirnya meletup.
Lokasi kegagalan ini bukan akibat aktiviti di permukaan tanah, tetapi kerana tanah di bawahnya yang tidak menyokong dengan baik.
Insiden pada jam 8.08 pagi itu menyebabkan letupan dan kebakaran yang menjejaskan keselamatan awam, merosakkan infrastruktur awam serta menyebabkan gangguan bekalan gas dan elektrik di beberapa kawasan sekitar Subang Jaya.
Siasatan teknikal insiden ini dijalankan di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Pindaan 2022) dan Akta Petroleum (Langkah-Langkah Keselamatan) 1984.
Ia turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Proses siasatan yang berlangsung hampir tiga bulan itu merangkumi pemeriksaan visual di lokasi kejadian, pengukuran dan semakan terhadap komponen paip, serta pengambilan sampel untuk analisis makmal.