
Beijing: Nyawa wanita di China ini terselamat apabila implan payudara miliknya menyelamatkannya daripada kecederaan maut akibat serangan tikaman lelaki tidak dikenali.
Menurut laporan South China Morning Post, kejadian berlaku di sebuah pusat beli-belah di tenggara China, 22 Mei lalu apabila mangsa, wanita berusia 30 tahun dikenali sebagai Ma, diserang ketika masuk ke kereta.
Ma memberitahu, suspek memaksa masuk ke tempat duduk hadapan dan mengacukan pisau ke arahnya.
Katanya, walaupun menjerit meminta pertolongan di kawasan parkir, tiada orang awam tampil membantu.
"Lelaki itu kemudian memaksa saya membayar parkir sebelum mengarahkan saya memandu keluar dari pusat beli-belah menuju ke daerah berhampiran.
"Sepanjang perjalanan, suspek terus mengugut dan memaksa saya meminjam wang daripada rakan selepas tidak berpuas hati apabila memeriksa baki akaun bank saya," katanya.
Bagaimanapun katanya, dia sempat menghantar mesej kepada teman lelakinya yang kemudiannya menjejak lokasinya dan menghubungi pihak polis.
"Sebaik polis tiba di lokasi, suspek tiba-tiba menikam saya di bahagian dada sebelum menikam dirinya sendiri.
"Ada lebih 20 kesan tikaman. Mujurlah saya pernah jalani pembedahan pembesaran payudara dan implan itu menghalang satu tikaman yang boleh mengancam nyawa," katanya.
Menurut laporan, lelaki itu disahkan maut di tempat kejadian, manakala Ma terselamat.
Menurut doktor, hanya satu tikaman menembusi paru-paru mangsa, manakala kebanyakan tikaman lain dihalang oleh implan payudara yang dipasangnya sebelum ini.
Kes ini turut mencetuskan kemarahan netizen di China yang menggesa keselamatan di tempat awam ditingkatkan.