KOTA BHARU: Seorang ahli majlis sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 29 tahun, hujung bulan lalu.
Muhammad Jaya Murugan Abdullah, 47, yang juga peniaga dituduh di hadapan Hakim Zulkifli Abllah mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dia didakwa merogol seorang wanita berusia 29 tahun di sebuah kedai dobi di Kuala Krai, kira-kira jam 2 petang 29 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Hasyime Rosli, manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein.
Muhammad Jaya mengaku tidak bersalah sebelum Kamarul Hasyime mencadangkan jaminan RM30,000 dengan beberapa syarat tambahan termasuk tidak mengganggu mangsa.
Ariff Azami memohon ikat jamin RM15,000 kerana anak guamnya menggalas tanggungjawab sebagai ketua komuniti India dan mempunyai 12 anak, termasuk anak tiri.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 15 Julai depan untuk sebutan semula kes, selain mengarahkan tertuduh melapor diri sekali dalam tempoh dua bulan di balai polis terdekat.