KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah menyita aset dan membekukan akaun bank dengan nilai keseluruhan RM85.6 juta susulan siasatan membabitkan seorang Tan Sri berkaitan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, antara yang disita termasuk 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta dan kenderaan mewah bernilai RM7.65 juta.
Menurutnya, barangan lain disita adalah beg tangan bernilai RM3 juta, jam tangan mewah RM7 juta dan hartanah yang disita pula bernilai RM24.5 juta.
“Kita mengesyaki dana sukuk berjumlah ratusan juta ringgit disalurkan kepada syarikat kontraktor milik Tan Sri itu disalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan tidak digunakan bagi tujuan pembiayaan projek lebuh raya berkaitan.
“Wang itu kemudiannya diagihkan kepada syarikat dan individu tertentu, termasuk ke akaun Tan Sri yang bertindak sebagai penggerak utama,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau berkata, dana itu seterusnya dipindahkan ke beberapa entiti lain, termasuk syarikat proksi dan akaun isteri Tan Sri.
“Wang terbabit digunakan bagi pembelian pelbagai aset seperti hartanah, kenderaan mewah, barang kemas, dan beg tangan termasuk aktiviti perjudian.
“Ia juga disalurkan untuk perbelanjaan peribadi seperti pembelian hartanah dalam dan luar negara serta pelaburan, melalui pelbagai transaksi kewangan berlapis yang bertujuan mengaburi sumber asal dana,” katanya.
Menurut Azam, buat masa ini SPRM masih belum merakam keterangan Tan Sri terbabit kerana keadaan kesihatan beliau yang berada di hospital ketika ini.
“Bagaimanapun siasatan masih berjalan dengan penyitaan aset itu, kita akan meneliti perolehan harta berkenaan termasuk mendapatkan dokumen kewangan daripada bank termasuk beliau sendiri bagi tujuan analisa dalam membantu siasatan.
“Semua yang terbabit dalam membantu siasatan akan dipanggil untuk rakaman pernyataan.
“Saya tidak menolak beberapa ahli keluarganya akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, setakat ini seramai 45 orang sudah dipanggil dan dirakam percakapan dan akan ada lagi yang akan dipanggil untuk melengkapkan siasatan antara 30 ke 50 saksi lagi.
Terdahulu media melaporkan, SPRM menyita pelbagai aset termasuk beg tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan, wang tunai dan kediaman mewah keseluruhannya dianggarkan kira-kira RM32 juta milik individu terbabit.
Dalam operasi itu, SPRM turut menemui sebuah stor simpanan pelbagai jenis minuman beralkohol mewah di salah sebuah kediaman yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta dan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengubahan wang haram.