PUTRAJAYA - Datuk Seri Rafizi Ramli mengesahkan telah menghantar sepucuk surat peletakan jawatan Menteri Ekonomi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 17 Jun depan.
Beliau berkata, langkah itu diambil sebagai menghormati prinsip kebertanggungjawaban dan mandat rakyat yang menjadi tunjang perjuangannya dalam politik sejak awal penglibatan.
“Surat peletakan jawatan telah dihantar kepada Perdana Menteri dan mulai hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun,” katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Menurut Rafizi, kekalahannya dalam pemilihan PKR menunjukkan beliau tidak lagi memiliki mandat daripada parti untuk menerjemahkan agenda rakyat ke dalam program kerajaan.
“Seperti amalan di negara-negara demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang untuk mengisi tempat dalam kerajaan,” jelasnya.
Dalam kenyataan sama, Ahli Parlimen Pandan itu turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Kementerian Ekonomi atas kerjasama sepanjang beliau memimpin kementerian itu.
“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan penjawat awam bukan sahaja merangka dasar tetapi juga menyusun kerangka program yang berkesan.
“Saya yakin usaha membaiki struktur ekonomi negara yang dipelopori kementerian ini akan terus dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Rafizi dalam pada itu memaklumkan bahawa amanah terakhir beliau sebagai Menteri Ekonomi adalah memuktamadkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang kini hanya menunggu giliran untuk dibentangkan di Parlimen.
Katanya, RMK13 memberi penekanan terhadap reformasi pendidikan secara menyeluruh termasuk perubahan struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.
“Saya berharap Jemaah Menteri akan terus mempertahankan reformasi berani dalam sektor pendidikan seperti yang digariskan dalam RMK13, meskipun saya tidak lagi bersama mereka,” katanya.
Mengakhiri kenyataan, beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak termasuk rakyat, penjawat awam, pemain industri dan pihak media atas sokongan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara agar lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi masih jauh. Kita perlu terus membuat keputusan baik untuk jangka panjang walaupun ia sukar dan berliku, demi generasi akan datang,” ujarnya.
Rafizi mula dilantik sebagai Menteri Ekonomi pada 3 Disember 2022, selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Rafizi meraih 3,866 undi manakala pencabarnya, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi