TELUK INTAN: Pemandu lori yang didakwa menyebabkan kematian sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) pada 13 Mei lalu ditahan semula bersabit kes curi lembu kira-kira 20 minit selepas dibebaskan dengan jaminan mahkamah.
Rudi Zulkarnain Mat Radi, 45, ditahan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bagan Datuk di pejabat kaunter pembayaran jamin Mahkamah Teluk Intan, kira-kira jam 12.20 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Bagan Datuk, Superintendan Mohammad Ali Mohd Jali, berkata suspek ditahan bagi membantu siasatan kes curi lembu di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan di Hutan Melintang, Bagan Datuk pada April lalu.
Beliau berkata, tangkapan dilakukan susulan laporan polis yang diterima 14 April lalu daripada lelaki warga tempatan yang kehilangan dua lembu di kawasan Kampung Sungai Keli, Hutan Melintang di Bagan Datuk.
"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan esok untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes curi lembu," katanya.
Terdahulu, suspek dibebaskan dengan jaminan mahkamah dari lokap IPD Hilir Perak selepas membayar wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin.
Jumaat lalu, Rudi Zulkarnain mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan atas sembilan pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mahkamah menetapkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan itu selain juga membenarkan syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan iaitu lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai di mahkamah serta perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap minggu.