Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ketua Balai Polis Bukit Jalil didakwa curi RM300,000 dan sengaja tak tangkap penjenayah


KUALA LUMPUR - Pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan mencuri RM300,000 daripada seorang individu, bulan lalu.

Tertuduh Ketua Balai Polis Bukit Jalil, Inspektor Azlan Sudin, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhamad Dan.


Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu bersama seorang individu yang masih bebas, didakwa mencuri wang berkenaan dan beg jenama mewah, Prada hitam milik seorang wanita berusia 35 tahun di sebuah unit kondominium di Bukit Jalil, pada jam 5.45 petang, 21 Februari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Huang Yee Ching yang mewakili tertuduh merayu kadar itu dikurangkan kerana anak guamnya perlu menanggung keluarga.

"Anak guam merupakan Ketua Balai Polis Bukit Jalil, telah berkhidmat selama 25 tahun, perlu menyara anak yang masih belajar di universiti, malah tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak Majistret, Farah Nabihah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di mahkamah majistret berasingan di hadapan Majistret, Noorelynna Hanim Halim, Azlan juga mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan tidak menangkap seorang lelaki yang terbabit dengan jenayah.

Mengikut pertuduhan, Azlan sebagai anggota polis yang berkewajipan untuk menangkap seorang suspek bagi kes senjata api, didakwa sengaja tidak melakukan tangkapan itu, di lobi Balai Polis Bukit Jalil, Cheras di sini antara jam 6.50 hingga 7 petang, 21 Februari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 221(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nursyuhada Husna Sulaiman mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam merayu jaminan minimum, menggunakan alasan sama.

“Sebelum tertuduh direman, tertuduh pernah serah diri sebanyak dua kali untuk membantu siasatan, kami mohon supaya jaminan rendah dan bersesuaian dengan keupayaan kewangannya dan tidak membebankan,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Majistret Noorelynna Hanim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Mei untuk sebutan kes.

Sebelum ini, pihak polis memaklumkan, telah melengkapkan kertas siasatan kes pegawai dan anggota polis didakwa terlibat kes curi wang tunai RM300,000 di Bukit Jalil di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kertas siasatan telah hantar ke Bukit Aman sebelum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

-sinar