PUTRAJAYA – Sabtu terakhir pada September setiap tahun diisytihar sebagai Hari Cuci Malaysia bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming memaklumkan, perkara itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Selasa.
Menurutnya, inisiatif tersebut sebagai langkah untuk mengukuhkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang bersih, indah dan aman.
"Malaysia telah menjadi antara destinasi pelancongan pilihan utama.
"Melalui inisiatif ini, kita berhasrat untuk menaikkan lagi imej Malaysia sebagai negara yang bersih, indah dan aman supaya kita dapat terus menawan hati pelancong dari seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Jelas beliau, Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan secara besar-besaran dengan pendekatan pelbagai lapisan masyarakat.
"Untuk tahun ini, acara tersebut dijadualkan berlangsung pada 27 September kelak," katanya.
Menurutnya, KPKT menyasarkan untuk mencatatkan 100,000 peserta dan turut melibatkan murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya.
"Budaya amalan kebersihan adalah amat penting, dan kita perlu mendidik anak-anak sejak kecil agar menjaga kebersihan awam,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan Hari Cuci Malaysia tahun lalu telah mencatatkan tiga rekod baharu Kebangsaan, The Malaysia Book of Records.
Ia melibatkan bilangan penyertaan teramai iaitu 58,007 orang, jumlah kutipan sisa pepejal terbanyak dalam satu acara (4,645.5 tan metrik) dan pelaksanaan aktiviti gotong-royong paling lama iaitu dari 8 pagi hingga ke 8 malam.
Hari Cuci Malaysia merupakan salah satu usaha untuk menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat di negara ini.