TERENGGANU: Seramai 13 nelayan di Kampung Telaga Papan, Bandar Permaisuri terpaksa menanggung kerugian apabila bot mereka dihanyutkan ombak besar awal pagi tadi.
Pegawai Daerah Setiu Ahmad Rizal Mamat berkata dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, sebanyak lapan bot nelayan kelas A dan B serta 10 bot fiber yang berlabuh di jeti pantai di Kampung Telaga Papan mengalami kerosakan teruk.
“Kerugian keseluruhan yang dialami oleh 13 nelayan itu dianggarkan bernilai RM1.4 juta,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati hampir kesemua bot yang hanyut sejauh kira-kira dua kilometer ke pantai telah berjaya dibawa naik ke darat menggunakan beberapa jentera seperti jentolak dan traktor milik orang kampung yang melakukan perkhidmatan secara sukarela.
Tekong bot Khairul Hassan Mohammad, 53, berkata dia menganggarkan kerugian yang dialaminya melebihi RM100,000 apabila sebuah bot kelas A dan dua bot fiber miliknya rosak teruk akibat fenomena air pasang besar tengah malam tadi.
BERNAMA
video: