Kerajaan teliti perkenal syarat tambahan untuk warga emas perbaharu lesen memandu
Labels:
Isu Semasa
SEPANG: Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam meletakkan apa-apa syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan warga emas sebelum ia diperkenalkan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagaimanapun pihaknya menerima baik cadangan bagi mengurangkan peningkatan kes kemalangan membabitkan golongan tersebut, tetapi ia memerlukan penelitian lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat.
Ini kerana kata, setiap syarat tambahan yang ingin diperkenalkan sudah tentu ada implikasinya sama ada ia memberikan kesan baik atau sebaliknya.
“Kita menerima baik cadangan laporan tersebut tetapi ia perlu diteriti dengan lebih lanjut sebelum sebarang keputusan dibuat oleh pihak Kementerian.
“Jadi, apa-apa syarat tambahan ini kita sentiasa berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi yang negatif apabila ada sesuatu syarat baharu dikenakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF) di sini, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.
Antara syarat yang boleh diusulkan adalah, warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.
Syarat ini juga dilaksanakan di beberapa negara seperti Jepun, Singapura, Korea Selatan, Australia, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom UK) dengan tidak melarang warga emas memandu, malah mengenakan syarat-syarat tambahan untuk memperbaharui lesen memandu mereka.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof. Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Ishak berkata, ketika ini, perundangan Malaysia hanya menetapkan had umur minimum untuk kelayakan memandu tanpa menetapkan had umur maksimum.
Bagaimanapun menurutnya, Seksyen 30 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) mewajibkan pemandu memastikan diri mereka berada dalam keadaan sihat dan berupaya untuk memandu.
Menurut beliau, jika kadar kemalangan melibatkan warga emas tidak dapat dikawal dengan peruntukan sedia ada, tidak mustahil kaedah penilaian tambahan bagi pembaharuan lesen memandu diperkenalkan di Malaysia.
Sekiranya polisi penilaian semula diperkenalkan, tempoh pembaharuan lesen sehingga sepuluh tahun yang sedia ada perlu disemak semula. – UTUSAN