Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

SPRM sahkan anak MB Perlis disambung tempoh tahanan


KANGAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya menyambung tempoh reman selama sehari lagi hingga esok terhadap anak Menteri Besar Perlis dan empat lagi suspek yang ditahan berhubung siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sambungan tempoh reman itu dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor di Mahkamah Majistret Kangar selepas tempoh asal reman semua suspek tamat hari ini.


Sumber SPRM berkata, seorang daripada enam suspek yang bertugas sebagai pembantu teknik di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dipercayai berusia 20-an yang ditahan semalam sudah pun dibebaskan hari ini.

"Suspek memberikan kerjasama yang baik dalam hal ini," katanya.

Semua suspek berusia 27 hingga 37 diwakili peguam Mohd Fadhly Yaacob dan Mohd Fadhly ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Kangar berkata, ini adalah fasa sambungan reman yang terakhir buat anak guamnya.

"SPRM meminta tujuh hari sebagai tempoh sambungan reman namun pihak mahkamah hanya membenarkan sehari sahaja lagi.

"Setakat ini, hanya seorang anak guam saya dibebaskan daripada siasatan ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan sambungan tempoh penahanan berkenaan.

Semalam, anak Menteri Besar Perlis yang juga menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi antara enam individu yang direman SPRM bagi membantu siasatan berhubung siasatan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Ia membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaikpulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022 hingga hari ini di mana menjurus kepada tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan.