Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis tahan Papagomo, aibkan Agong




KUALA LUMPUR: Polis menahan blogger, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, hari ini, kerana disyaki mengeluarkan kenyataan mengaibkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Kenyataan itu dikesan dalam satu hantaran video berdurasi 2 minit 46 saat yang memaparkan Wan Muhammad Azri didakwa mempersoalkan tindakan YDPA bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara.


Hantaran video itu turut dikatakan mendakwa bahawa baginda mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard, 45, dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata penahanan itu dibuat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

"Tangkapan dilakukan susulan laporan polis diterima berkaitan video berkenaan, daripada seorang peniaga berumur 41 tahun yang mengesan hantaran itu ketika melayari media sosial di rumahnya, semalam.

"Papagomo telah ditahan di kediamannya di Setapak bagi membantu siasatan, dan ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi," katanya kepada BH.

Razarudin berkata, pihaknya sedang dalam proses memohon perintah reman terhadap Papagomo bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.