Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tolong jangan boikot kami -KK Mart



KUALA LUMPUR – Pengurusan tertinggi KK Mart menyatakan kesal dengan insiden penjualan stoking yang tertera tulisan kalimah Allah di salah sebuah cawangannya di Bandar Sunway Pyramid, Petaling Jaya yang tular di media sosial.

Pengasas dan juga Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart Datuk Seri Dr KK Chai menyifatkan insiden tersebut sebagai sesuatu yang tidak dijangkakan oleh pihaknya.


Katanya, sepanjang tempoh 23 tahun mengusahakan perniagaan itu, syarikat itu tidak pernah melakukan kesilapan seumpama itu, apatah lagi ia sesuatu yang sensitif .

“Saya sendiri tidak boleh terima penjualan stoking yang tertera  tulisan kalimah Allah, apatah lagi mahu mencetak produk berkenaan.

“Sebagai Pengasas KK Mart saya sangat kesal dan mohon maaf secara terbuka atas perkara yang berlaku beberapa hari lalu (penjualan stoking kalimah Allah),” katanya dalam satu sidang media khas di ibu pejabatnya di Menara KK di Bandar Tasik Selatan hari ini.

Mengulas lanjut, KK Chai berkata, sebagai ahli perniagaan di negara ini, beliau sudah cukup arif dan peka dengan sensitiviti masyarakat berbilang bangsa dan agama.

Sebab itu, sebaik sahaja stoking kalimah Allah itu tular di media sosial pada 13 Mac lalu, pihak pengurusannya telah mengambil tindakan pantas dengan memohon maaf di platform media sosial selepas dua jam mengetahui perkara tersebut.

“Perkara sudah terjadi dan kita tidak mahu hanya memberikan alasan tetapi  mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap apa yang berlaku dan menjamin akan lebih berhati-hati dan berfokus selepas ini mengelak perkara sama berulang lagi.

“Sebagai langkah susulan, kami juga telah membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi 14 Mac lalu dan memberi kerjasama kepada siasatan pihak polis.



“Pada masa sama, kami juga sudah menghantar surat penerangan menerusi e-mel kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta pihak jabatan-jabatan yang bertanggungjawab dalam agama Islam berhubung isu ini.

“Semua tindakan ini sebagai kesediaan kami untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk siasatan selepas ini,” katanya lagi

Dalam perkembangan sama, KK Chai mengakui insiden berkenaan bukan sekadar menjejaskan perniagaannya, malah mengganggu emosinya.

“Dalam tempoh tiga hari ini sejak insiden ini berlaku, saya tidur kurang 10 jam dan sukar untuk melelapkan mata. Selain hati tidak tenang saya betul-betul marah dengan pembekal dan mempertikaikan macam mana perkara ini boleh berlaku,” ujarnya.

Ditanya keberadaan produk stoking itu dalam pasaran di KK Mart, KK Chai berkata, produk itu disediakan oleh pembekal menerusi sistem sewaan tempat dalam premis kedai serbaneka tersebut.

“Sebenarnya, pembekal ini diberi tempat dalam kedai serbanekan kami untuk menjual produk yang proses, dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat berkenaan tanpa pemantauan daripada pekerja kami.

“Di sini jelas belaku kelemahan sistem kami yang menyerahkan sepenuhnya kepada pembekal meletakkan produk di rak sehingga mengundang insiden sensitif ini.

“Kami berjanji akan lebih bertegas selepas ini serta akan baik pulih prosedur operasi standard (SOP), antaranya membuat pemeriksaan secara rapi terhadap sesuatu produk yang diterima dari pembekal selepas ini,” menurut beliau lagi.

KK Chai berkata, hasil pemeriksaan di semua 800 cawangan KK Mart di seluruh negara, terdapat tiga premis dengan 14 pasang  stoking berkenaan dikesan.

Ia termasuk cawangan KK Mart  Bandar Sunway seperti ditularkan di media sosial.

“Selepas disemak dengan pengurus cawangan itu, kami bernasib baik kerana stoking berkenaan tiada yang terjual,” katanya lagi.

Rentetan insiden itu, beliau telah menghantar tiga surat menuntut sebab kepada pembekal tersebut.

Dalam sidang media sama, Chai dilihat gagal menahan sebak dan menangis sambil merayu orang ramai supaya tidak memboikot KK Mart ekoran insiden itu.

“Saya harap tiada tindakan boikot terhadap KK Mart dan saya bersedia untuk berjumpa semua pihak bagi menjelaskan perkara ini termasuk Ketua Pemuda UMNO (Dr Akmal Saleh) yang ada membuat kenyataan boikot sebelum ini.

“Kami tidak lari dan memang bertanggungjawab sepenuhnya dalam hal ini selain minta maaf secara terbuka kepada masyarat terutama yang beragama Islam.

“Kami tahu betapa marahnya orang ramai terhadap KK Mart selepas insiden ini.. perkara ini bukan disengajakan dan kami akui kesilapan telah berlaku..beri ruang dan peluang untuk kami betulkan segera,’ tegasnya lagi.


video: