Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Budak perempuan maut jatuh tingkat 12 kondo, ibu ditahan


Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai selepas terjatuh dari tingkat 12 di sebuah kondominium di Johor Bahru pada Selasa, lapor Sinar Harian.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya menerima laporan tentang kejadian berkenaan kira-kira 6.30 petang.

Ujar Raub lagi, mangsa dipercayai ditinggalkan sendirian di rumah oleh ibunya. 

Semasa kejadian, ibunya yang turut membawa anak bongsu berusia empat bulan keluar mengambil anak perempuan sulung berusia 11 tahun dari sekolah.

Bagaimanapun selepas pulang dari sekolah, suri rumah berusia 32 tahun itu mendapati mangsa tiada di rumah.

“Kanak-kanak itu telah dijumpai di aras enam kondominium tersebut dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa dipercayai telah membuka pintu koridor rumah yang tidak berkunci dan memanjat dinding koridor hingga terjatuh ke bawah.

“Pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengesahkan kanak-kanak malang tersebut telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian badan dan kepala,” katanya seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian.

Raub turut berkata kejadian itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana cuai dan pengabaian terhadap kanak-kanak.

“Wanita terbabit telah ditahan dan dibebaskan dengan jaminan polis.”