Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

L&M Mart tiada kaitan dengan KK Mart -Pemilik




Sebuah lagi kedai runcit menjadi mangsa kempen boikot walaupun tiada kena mengena dengan KK Super Mart, yang terpalit kontroversi jualan stoking bertulis kalimah Allah.

Semuanya gara-gara kedai itu, L&M Super Mart di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, menggunakan papan tanda yang mirip dengan KK Mart.


Di tengah-tengah ketegangan isu itu sehingga membuatkan polis mengeluarkan arahan bertenang, L&M kini berkira-kira menukar papan tandanya.

“Saya akan memberi cadangan untuk tukar rekaan papan tanda sedia ada kepada yang baru bagi mengelakkan kekeliruan orang ramai dan risiko boikot yang boleh menjejaskan perniagaan kami,” jelas pengurusnya yang hanya mahu dikenali sebagai Robin.

Sebelum ini tular di media sosial mendakwa KK Super Mart memperbodohkan orang ramai dengan menjenamakan semula perniagaannya kepada “L&M”.

Tinjauan Malaysiakini Jalan Imbi mendapati rekaan papan tanda kedai berkenaan mempunyai persamaan ketara dengan kedai KK Super Mart seperti warna jalur dan perkataan “super mart”.

Kedua-dua kedai itu menggunakan warna tema yang serupa iaitu oren dan hijau, selain sama-sama menjual barangan runcit.

Namun yang membezakan ialah penggunaan perkataan “kedai runcit” oleh L&M Super Mart berbanding “pasar mini” oleh KK Super Mart.

Robin bagaimanapun berkata walaupun papan tanda mereka mirip, mereka langsung tidak mempunyai kena mengena dengan KK Super Mart.

Ditanya kenapa L&M menggunakan papan tanda yang hampir sama, dia tidak mahu menjawab secara langsung.

“Mana ada samalah. Kita punya (perkataan L&M)  warna kuning,” katanya.

Dia juga berkata kedai milik L&M Dynamic Enterprise itu tidak terjejas, walaupun ada  gesaan memboikot mereka di media sosial.

“Kedai masih beroperasi seperti biasa, tiada terima sebarang ancaman.

“Perniagaan OK,” katanya.

Terdahulu, beberapa kedai lain juga turut menjadi mangsa kempen boikot yang salah sasaran, antaranya kedai KK Fresh Mart, di Jitra Kedah.

KK pada kedai di Kedah itu bagaimanapun singkatan kepada perkataan Kuala Kedah, lokasi pendaratan ikan terbesar di negeri itu.

Sebelum ini tular juga video memperlihat orang ramai mengadakan demonstrasi bagi menyatakan bantahan terhadap KK Super Mart. 

Bagaimapun, mereka sebenarnya tersalah tempat dengan berkumpul di kedai 99 Speedmart.

Kedua-dua perniagaan juga dilapor terpaksa tampil menafikan mempunyai sebarang kaitan dengan KK Super Mart.

KK Super Mart, yang mempunyai hampir cawangan di seluruh Malaysia, berdepan gesaan boikot susulan jualan stoking bertulis kalimah Allah yang didedahkan penceramah Firdaus Wong.

Insiden itu menyebabkan mereka diheret ke mahkamah susulan bantahan hebat, termasuk daripada orang awam, Pemuda Umno. 

Malah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim turut menyatakan kemurkaan baginda susulan perkara itu.

Pengasas rangkaian kedai serbaneka KK Mart, Chai Kee Kan, dan isterinya Loh Siew Mui, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam.

Chai dan Loh yang merupakan pengarah syarikat terbabit didakwa dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

KK Super Mart sebelum itu memohon maaf dan menarik balik jualannya.