Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Isu KK Mart cetus kempen maklumat palsu


Sejak beberapa hari lalu, satu hantaran mengenai kemelut KK Mart tersebar meluas melalui media sosial khususnya di Facebook.

“Bila isu KK Mart aku baru sedar di Malaysia ni hina Diraja/Sultan lebih sensitif di mata pemimpin berbanding hina Allah & Islam,” petik hantaran itu.

Menariknya, kata-kata yang tepat dalam hantaran itu telah diulangi oleh pengguna media sosial lain, serta dikongsi merentasi pelbagai kumpulan dan halaman Facebook yang tular.


Hantaran pertama itu dipercayai dibuat oleh ahli perniagaan e-dagang Fikri Nasir pada 17 Mac - tiga hari selepas KK Mart memohon maaf kerana menjual stokin tertera kalimah Allah.

Siaran itu dikongsi lebih 14,000 kali dan mendapat lebih daripada 3,000 komen. Fikri yang halamannya terbuka kepada orang ramai mempunyai 2,700 pengikut di Facebook.


Pada 18 Mac dan seterusnya, puluhan hantaran dengan perkataan yang sama telah dikongsi oleh pengguna Facebook sama ada pada akaun peribadi mahupun kumpulan mereka yang mempunyai jangkauan meluas seperti 'Kaki Viral' yang mempunyai lebih 542,000 pengikut.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) Wathshlah Naidu berkata kewujudan berbilang hantaran dengan perkataan yang sama sebenarnya menimbulkan syak wasangka ia adalah palsu ini.



Bagaimanapun, katanya, semakan sepintas lalu ke atas hantaran berkenaan menunjukkan ia hanya mempunyai satu daripada empat penanda utama kempen, atau apa yang mereka dalam kajian maklumat palsu dalam talian sebut sebagai 'kelakuan tidak sahih terkoordinasi' atau coordinated inauthentic behaviour’ (CIB).

Dia mendapati terdapat beberapa elemen penyelarasan dalam perkongsian hantaran itu dengan kebanyakannya disebabkan kandungannya serupa, menunjukkan kemungkinan terdapat usaha bersepadu untuk menyebarkan naratif tertentu.

"Salah satu perkara yang kelihatan sangat jelas ialah hakikat bahawa terdapat persamaan kandungan," katanya.

Empat penanda itu adalah persamaan kandungan, masa hantaran, hubungan antara individu yang berkongsi hantaran siaran dan jika ia adalah kandungan berbayar, katanya.

Naidu berkata adalah penting untuk mengkaji masa dan kelajuan hantaran berkenaan, dengan menyatakan bahawa walaupun sesetengahnya hampir serentak, ada juga yang lain mempunyai jurang ketara di antara satu sama lain.

Bagaimanapun, dia menambah tiada petunjuk jelas bahawa akaun media sosial yang berkongsi hantaran yang sama itu telah dibayar untuk berbuat demikian.

Naidu memberi amaran bahawa hantaran berkenaan mungkin cubaan untuk mensensasikan atau memutarbelitkan sesuatu isu.

Selain CIJ, pensyarah media Benjamin Loh juga mengkaji kempen maklumat palsu di Malaysia.

Pensyarah Sekolah Media dan Komunikasi Universiti Taylor itu bersependapat dengan pandangan Naidu bahawa hantaran berkenaan menunjukkan berkemungkinan ia adalah kempen maklumat palsu.

Dia menyifatkan hantaran itu umpama "kempen ala akar umbi" yang bertujuan untuk menarik emosi orang ramai.

"Taktik yang digunakan dalam hantaran ini pada asasnya adalah pengulangan kenyataan tepat yang sama berulang kali, merentas berbilang akaun," katanya.

Dia mencadangkan bahawa pada ketika ini, ia boleh menjadi sama ada percubaan amatur atau kumpulan kecil yang bermain dengan sentimen sensitif, tetapi dia percaya ia telah diselaraskan.

Bagaimanapun, berdasarkan tinjauan sepintas lalu pada akaun itu, tidak jelas siapa yang mungkin berada di belakang penyelarasan itu, katanya.

Katanya, cybertroopers atau laskar maya di Malaysia mempunyai modus operandi biasa menggunakan istilah dan kata kunci khusus berkaitan parti yang mereka anggotai, dan akan menyesuaikan hantaran mereka untuk memenuhi kumpulan berbeza.

"Tetapi banyak taktik menghantar mesej akan sentiasa kekal sama. Kempen ini mempunyai helah yang serupa dengannya.

"Ideanya ialah anda menghantar mesej. Kamu tidak menghuraikan atau memberikan apa-apa jenis bukti untuk mana-mana perkara ini. Kamu biarkan orang yang membaca itu membuat kesimpulan berdasarkan apa yang mereka tahu."

sumber: Malaysiakini